Rabu, 7 Januari 2015

Rosmah perlu tampil jika benar guna jet rasmi

Oleh: Rusnizam Mahat



KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor perlu tampil menjelaskan kepada rakyat sekiranya benar beliau menggunakan jet rasmi kerajaan atas kapasiti peribadi ketika bercuti di luar negara.

Ini berikutan terdapat spekulasi mengatakan isteri Perdana Menteri itu menggunakan pesawat rasmi selepas Datuk Seri Najib Razak pulang dari bercuti di Hawaii.

Rozan“Rosmah atau Najib sendiri perlu tampil menjelaskan perkara ini kepada rakyat. Ini kerana isu yang digembar-gemburkan dan dipertikaikan itu jika benar adalah melibatkan wang rakyat.

“Najib dan Rosmah tidak boleh berdiam diri dan membenarkan spekulasi ini berterusan. Jika betul, mereka perlu memohon maaf,” kata ahli dan aktivis KEADILAN, Rozan Azen Mat Rasep.

Media melaporkan pesawat itu berlepas dari Subang ke Honolulu, Hawaii pada 20 Disember tahun lalu di mana Najib bercuti dengan keluarganya dan bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Percutian itu dipendekkan apabila Najib pulang ke Malaysia pada 27 Disember, namun didakwa menaiki jet VIP Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) M53-01.

Sejak 26 Disember, pesawat rasmi jenis Airbus A319CJ itu berlepas tanpa Najib ke Los Angeles, Indianapolis, kembali ke Los Angeles, New York, London, Dubai, dan akhirnya Bangkok.

Laluan pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-NAA itu turut dikesan menerusi sistem pengesan penerbangan, Flightradar24.

Mengulas lanjut, Rozan yang juga Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, sama ada Rosmah bahkan Najib sendiri tidak berhak menggunakan kemudahan kerajaan atas kapasiti peribadi.

“Sebagai ahli politik yang mempunyai pengalaman hampir 40 tahun, Najib sepatutnya tahu ia salah dari segi etika. Ia mengejutkan rakyat Malaysia dan tidak sepatutnya berlaku.

“Jangan marah jika ada  yang meminta Perdana Menteri dan isterinya membayar semula kos penerbangan pesawat berkenaan,” tegasnya.

Tiada ulasan: