Khamis, 22 Januari 2015

PKR bimbang swasta urus pekerja asing


Sim Tze Tzin Sim Tze Tzin
 


PETALING JAYA - PKR hari ini melahirkan kebimbangan terhadap penyerahan tanggungjawab menguruskan kemasukan pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) terhadap syarikat swasta, Bestinet Sdn Bhd.

Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin berkata, tindakan itu akan mendedahkan negara ini kepada aktiviti pengganas serta ekstremisme.

"Apa yang kita bimbangkan adalah apabila syarikat swasta ini keluar dan beroperasi di negara-negara lain... kami tidak menyebut mana-mana negara secara spesifik, ia akan mencipta peluang kepada pengganas atau mana-mana ekstremisme untuk menembusi ... mendapatkan visa dan masuk ke Malaysia untuk memulakan operasi mereka.

"Kedua, melibatkan jenayah. Orang Afrika masuk Malaysia guna visa untuk menjalankan sindiket. Kedutaan Amerika Syarikat telah keluarkan laporan yang menyebut bahawa Malaysia adalah negara keenam di dunia bagi kes sindiket penipuan internet yang bertapak di negara ini," katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini.

Selain itu, menurutnya tanggungjawab pengurusan kemasukan pekerja asing itu sepatutnya di bawah kendalian kedutaan Malaysia bukan sebuah syarikat swasta.

"Mungkinlah kata proses ini perlu untuk tapis orang bukan-bukan masuk ke Malaysia. Itu betul. Saya setuju.

"Tapi syarikat swasta bertujuan kaut untung, jadi, mungkin mereka akan merendahkan standard, tutup satu mata atau mungkin proses dengan tak betul. Jadi, orang-orang yang tidak sepatutnya boleh masuk.

"Pihak kedutaan akan buat proses sama (semak) jadi, saya rasa ini kerja dua kali. Sepatutnya tugas ini dijalankan oleh pihak kedutaan. Ini fungsi kedutaan seluruh dunia ... semua buat begitu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu proses seorang pemohon yang mahu bekerja di Malaysia perlu melalui ejen syarikat tersebut sebelum maklumatnya dihantar ke Bestinet dan kedutaan.

"Ketika memohon, pihak kedutaan akan kata pemohon perlu memberi visa, pemeriksaan kesihatan dan maklumat biometrik. Apabila sudah lengkap baru boleh dapat satu 'calling visa'. Jadi, semua ini dia kena buat dan hantar kepada satu syarikat swasta, Bestinet.

"Di negara itu, Bestinet akan wakilkan ejennya untuk mendapatkan maklumat daripada pemohon dan dihantar kepada Bestinet kemudian disemak dan baru dia bagi 'calling visa' dan baru boleh pergi ke kedutaan Malaysia untuk mohon visa. Jika ikut SOP, kedutaan juga akan semak lagi.

"Pada saya, proses ini menyebabkan kekeliruan... juga isu keselamatan maklumat peribadi pemohon itu yang diserah kepada syarikat swasta. Ejen itu pun boleh buat apa-apa saja ... mungkin salah gunakan. Syarikat swasta itu juga boleh salah guna maklumat tersebut," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mendakwa bahawa sistem FWCMS yang telah bertapak di Nepal dan Bangladesh akan dikembangkan ke beberapa negara lain seperti Pakistan, Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan sebagainya.

Namun, katanya, kerajaan Nepal telah memberhentikan sistem tersebut ekoran bimbang maklumat rakyat negara itu jatuh ke tangan syarikat swasta.

"Kerajaan Nepal telah memberhentikan sistem Bestinet ini kerana takut biometrik rakyat negara itu jatuh ke tangan syarikat swasta. Itulah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab untuk mempertahankan maklumat peribadi daripada jatuh ke tangan syarikat swasta.

"Tapi kerajaan Malaysia sekarang 'outsource' satu sistem yang mempunyai unsur-unsur keselamatan negara kepada sebuah syarikat swasta. Jadi, ini persoalan yang penting dan serius. Kita minta menteri jawab secepat mungkin. Ini bukan isu main-main tapi isu serius, "katanya.

Semalam, sebuah portal melaporkan salah seorang pengarah Bestinet, Tan Sri Azmi Khalid menepis tuduhan keselamatan negara terjejas dengan sistem itu.

Tiada ulasan: