Selasa, 27 Januari 2015

Perkasa nafi dalangi demo Datum Jelatek

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Yang Dipertua Perkasa (Perkasa) Selangor, Abu Bakar Yahya menafikan dirinya dan ahli pertubuhan berkenaan terlibat dalam insiden 'ganas' memecahkan tembok zink sewaktu demonstrasi membantah projek pembinaan Datum Jelatek, Ahad lalu.
 
Kata Abu Bakar, kehadiran mereka sewaktu demonstrasi berkenaan hanya sebagai tanda sokongan moral terhadap penduduk Melayu Taman Keramat yang ditindas dan hak mereka dinafikan kerajaan negeri, setelah projek penempatan semula yang dijanjikan pada awalnya bertukar kepada projek mega bernilai ratusan ribu ringgit yang tidak mampu dimiliki penduduk tempatan.
 
Tambah Abu Bakar, ahli pertubuhan berkenaan hanya berdiri jauh daripada tapak projek selepas beliau selesai memberi sedikit ucapan bersama Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad. 
 
"Kami sudah katakan bahawa Perkasa akan berada di mana saja jika penindasan dilakukan terhadap bangsa Melayu.
 
"Saya ke sana pertamanya, saya membantu membela bangsa saya supaya mereka dapat ditempatkan di situ semula. Saya tak mahu ada tindakan dilakukan untuk menghalau orang Melayu keluar daripada bandar," katanya kepada Antarapos.      
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali , yang memberi bayangan bahawa demonstrasi semalam turut didalangi oleh 'orang luar'.
 
Azmin yang ditanya berhubung hal berkenaan semalam juga menyuruh pemberita memastikan adakah benar peserta demonstrasi itu merupakan penduduk tempatan.
 
"(Kalau) dia (Azmin) kata orang luar, tak apalah. Memang saya orang luar dari kawasan Jelatek itu sendiri. Tapi saya orang dalam Selangor. Cubit paha kanan, peha kiri pun terasa," ujar Abu Bakar lagi.    
 
Malah tambah beliau, Perkasa adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai prinsip dan bukan sewenang-wenangnya menyertai sesuatu demonstrasi tanpa melakukan analisa terlebih dahulu. 
 
Sementara itu, Salleh juga menafikan penglibatan Perkasa dalam insiden rempuhan tapak projek berkenaan, sebaliknya menjelaskan ianya dilakukan oleh anak muda penduduk setempat.
 
Secara sinis, Salleh berkata Azmin hanya akan mengenali peserta demonstrasi jika beliau sendiri turun padang bertemu penduduk semalam.
 
"Kalau kita tengok gambar-gambar yang diambil, yang bertindak ganas adalah anak Keramat sendiri. Orang luar tak kan boleh ada semangat macam itu. Ini semangat anak Keramat yang kawasan mereka diceroboh, dizalimi. Naik anginlah mereka," kata Salleh. 
 
Ahad lalu, lebih 200 penduduk Taman Keramat mengadakan demonstrasi membantah projek Datum Jelatek sehingga bertindak menceroboh tapak projek berkenaan, setelah memorandum dan siri bantahan sebelum ini tidak dipedulikan kerajaan negeri.
 
Penduduk mendakwa kerajaan negeri telah mempedayakan mereka kononnya projek berkenaan merupakan projek penempatan semula, namun ianya bertukar kepada projek berstatus mega dengan harga satu unit kondominium bermula dengan RM 700 ribu ringgit.
 
Kata penduduk lagi, projek berkenaan juga bukanlah khas untuk Bumiputera sebaliknya ia dijual kepada warganegara asing seperti Singapura dan China.

Tiada ulasan: