MALAYSIAKINI
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim
Ali hari ini menyarankan agar pemberian lesen pembalakan dihentikan
sekurang-kurangnya 25 tahun bagi mengelak banjir besar berulang.
Katanya kerajaan negeri terutama negeri-negeri yang berisiko banjir
setiap tahun perlu melaksanakan langkah berkenaan bagi mengelak impak
besar banjir ekoran kegiatan pembalakan yang berleluasa.
"Selagi ada pemberian lesen pembalakan, selagi itu ada kemusnahan hutan,
selagi ada kawasan yang 'halal' untuk membalak, selagi itu ada kegiatan
'haram' pembalakan ini.
"Kita hanya salahkan pembalakan, kemusnahan hutan sebagai penyebab
banjir setiap kali banjir berlaku, tapi pernah tak fikir, lesen membalak
tu siapa yang bagi, yang luluskan?" katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Majlis Muhibah Perkasa bersama Orang Asli di Bukit Lagong di
Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan beberapa ahli
akademik yang menjurus kemungkinan bencana banjir terburuk ketika ini
mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan.
"Kita boleh hentikan sementara, 25 tahun sekurang-kurangnya, bagi muka
bumi, tanah stabil. Lesen boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar
berkaitan dengan industri contohnya industri perabot sahaja.
"Lagipun saya rasa Malaysia tidak kurang pendapatan jika cukai balak ini tiada," katanya.
Sementara itu, Ibrahim melahirkan rasa terima kasih dan kagum terhadap
kepimpinan dan ahli Perkasa seluruh negara yang telah bertungkus lumus
mengumpul dan mengagih bantuan ke negeri-negeri terjejas akibat banjir.
Selain bantuan keperluan asas, Perkasa kini dalam proses mengumpul
sumbangan berbentuk bahan binaan ringan seperti zink, simen dan papan
bagi membantu membina semula rumah penduduk yang rosak sementara mereka
mendapat bantuan untuk membina rumah baharu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan