mh17
 
 
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Belanda akan meneruskan siasatan terperinci untuk mencari punca penembakan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 di timur Ukraine dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ini dinyatakan Selasa oleh Menteri Luar Belanda Bert Koenders semasa acara yang diadakan di Institut Keamanan Antarabangsa di New York apabila beliau menyampaikan ceramah tentang 'Bangsa Bersatu pada 70', yang menonjolkan peranan konstruktif dan berguna dalam semua bentuk hal ehwal dunia tetapi juga menggesa bagi reformasi.

"Tahun 2014 adalah sukar bagi masyarakat dunia. Berikutan tragedi MH17, Kerajaan Belanda mengalami secara langsung bagaimana krisis global masa kini menjadi celaru. Hal ehwal luar menjadi terlalu peribadi untuk kebanyakan rakan senegara saya.

"Kami kehilangan hampir 200 rakyat (Belanda) tetapi banyak keluarga di seluruh dunia kehilangan orang tersayang. Kami masih bekerja keras dengan semua pihak untuk membantu siasatan bertujuan mencari pelaku yang bertanggungjawab," kata Koenders semasa berucap pada auditorium IPI yang penuh sesak. 

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu juga menunjukkan bahawa di negaranya, seperti di kebanyakan negara lain, bahawa "krisis antarabangsa boleh menyentuh perasaan warga negara individu walaupun jauh', menjadikan dasar dalam dan luar negara saling berkait rapat.

Ketika diminta menjelaskan pendirian rasmi Kerajaan Belanda mengenai insiden penembakan MH17 dan sama ada ia telah mengenal pasti siapa atau apa yang menjadi punca penembakan, Koenders memberitahu Bernama bahawa "siasatan menyeluruh" sedang dijalankan.

Sambil menyifatkan soalan itu sebagai 'sangat, sangat penting', Koenders berkata jawapan kepada soalan ini perlu dilakukan dengan cara "sangat profesional yang menunjukkan kita memandang serius mengenai siasatan ini."

Koenders menjawab dengan panjang lebar kepada soalan wartawan namun berkata berkata beliau tidak dapat menuding jari ketika ini tentang siapa yang bertanggungjawab terhadap penembakan pesawat MH17.

"Kami mempunyai pasukan siasatan yang telah bekerja secara intensif di Ukraine seperti juga di The Hague dengan bekerjasama rapat dengan negara lain dalam apa yang dikenali sebagai pasukan siasatan bersama... Australia, Malaysia dan...jelas, kami terpaksa bekerjasama dengan Ukraine untuk mengeluarkan bangkai pesawat dengan melalui akses amat rumit.

"Pada ketika ini, siasatan bebas sedang dijalankan dalam konteks kerjasama dengan negara lain, terutama oleh kumpulan bebas yang berpusat di Belanda dengan mendapat kerjasama dari negara lain," kata beliau sambil menambah bahawa kumpulan itu berharap dapat menyediakan hasil siasatannya dalam laporan akhir tahun ini.

Ini akan menjadikan keadaan 'sangat jelas atas dasar siasatan secara menyeluruh untuk menentukan apa yang berlaku dan mengemukakan bukti tanpa keraguan yang munasabah.

Menteri Luar Belanda itu berkata ia satu tugas yang besar untuk mengeluarkan bangkai pesawat dan mengumpul semua maklumat dari seluruh dunia sambil menekankan tentang pentingnya proses undang-undang untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Saya ingin menekankan betapa pentingnya hakikat bahawa insiden penembakan pesawat juga menjadi sebahagian daripada perbincangan dalam Majlis Keselamatan," kata Koenders.

Seorang pegawai PBB, yang tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu Bernama bahawa insiden penembakan MH17 adalah isu dalaman besar di Belanda.

Beliau juga berkata isu ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda Mark Rutte di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. - Bernama