Faudzi menerima barangan daripada Bakar (kiri) sambil disaksikan Shahimi di ibu pejabat JPS, di sini. Faudzi menerima barangan daripada Bakar (kiri) sambil disaksikan Shahimi di ibu pejabat JPS, di sini.
 
 
KOTA BHARU - Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat menasihati orang ramai yang terlibat secara langsung dengan kemusnahan banjir baru-baru ini supaya mendaftar dengan ketua-ketua jajahan masing-masing sebelum 15 Januari ini.

Menurutnya, hal demikian adalah untuk memastikan tidak ada mereka yang terkecuali mahupun ketinggalan dalam usaha kerajaan untuk membantu dan menghulurkan sebarang bantuan selepas ini.

“Saya juga sudah arahkan setiap ketua jajahan untuk keluarkan satu senarai lengkap, ada beberapa kategori yang disenaraikan, senarai tersebut juga akan diselaraskan di peringkat jajahan supaya memudahkan pihak kerajaan mengguna pakai satu senarai penuh.

"Kalau ada yang tertinggal kita masih boleh masukkan nama mereka, pendaftaran melalui agensi-agensi lain itu perlu diserahkan kepada Ketua Jajahan untuk penyelarasan awal,” katanya, semalam.

Beliau hadir di Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu pejabat JPS, di sini yang turut dihadiri Pengarah JPS negeri, Shahimi Sharif dan Pengarah JPS Wilayah Persekutuan, Datuk Bakar Mohd Yusof.

Faudzi ketika menyampaikan ucapan turut berkongsi pengalaman cemas berdepan situasi kenaikan air, termasuklah mengadakan mesyuarat tergempar pada jam 2 pagi.

Ketika diminta mengulas mengenai sistem perparitan yang kawasan bandar Kota Baharu, beliau berkata, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam perlu mempertimbangkan longkang yang lebih sempurna dan sistematik.

"Jabatan akan buat kajian menyeluruh dengan bencana banjir yang berlaku," katanya.