Rabu, 7 Januari 2015

Jenayah libat warga asing mendadak naik, polis hilang taring?

Teo-Nie-Ching

Roketkini.com

 
KULAI: Peningkatan indeks jenayah bunuh dan rompak melibatkan warga asing asing di Malaysia semakin membimbangkan, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Dalam kenyataannya hari ini, Nie Ching melahirkan kebimbangan terhadap situasi jenayah, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti ‘harimau hilang taring’ dalam menangani kes-kes jenayah melibatkan warga asing.

“Indeks peratusan jenayah warga asing yang semakin tinggi ini membimbangkan.

“Mengikut Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk 2012 sahaja, dari 602 kes bunuh, 66 daripadanya dilakukan warga asing, bersamaan 11 peratus dari keseluruhan kes.

“Manakala diantara Januari hingga Ogos 2014 sahaja, daripada 338 kes bunuh, 167 daripadanya dilakukan warga asing bersamaan 49.4 peratus,” kata Nie Ching.

Ujarnya, sekiranya kes bunuh bagi 2014 sahaja menyaksikan peningkatan hampir 50 peratus penglibatan warga asing, kes rompakan bersenjata melibatkan turut meningkat kepada 71.4 peratus berbanding 29.4 peratus pada 2012.

Justeru itu, Nie Ching menekankan peri pentingnya peranan polis menangani jenayah melibatkan warga asing, dalam masa sama tidak menafikan hak mereka yang mencari rezeki di Malaysia secara halal.

“Pada masa sama, polis mesti menggunakan kuasanya bertindak keatas pendatang tanpa izin di Malaysia agar situasi buruk dapat dicegah,” ujarnya.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu juga turut menggesa polis melakukan analisa penuh berhubung kenaikan mendadak jenayah warga asing ini.

“Atau apakah polis kita sudah jadi seperti harimau tak bertaring?” soal Nie Ching. – Roketkini.com

Tiada ulasan: