Selasa, 13 Januari 2015

Isu Mejar Zaidi: Lambang Pencabulan Demokrasi Di Malaysia

KELAB GREENBOC



Isu Mejar Zaidi Ahmad yang dijatuhi hukuman buang kerja atas dua tuduhan berhubung isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan dibawa ke Jawatankuasa Harian PAS Pusat.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, pihaknya masih belum berbincang lagi isu ini dan akan mengetengahkan di dalam mesyuarat PAS Pusat akan datang.

Mohamad tidak menolak apa yang berlaku terhadap Mejar Zaidi kerana PAS mahupun Pakatan Rakyat jarang menang di mahkamah khususnya berkaitan kes-kes yang membabitkan pilihan raya.

"Kita akan terus menuntut kebebasan yang adil dalam pilihan raya. Bagi kita ini adalah cara Malaysia yang tidak memberi ketelusan tidak kira tentera ataupun polis,"
katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaei Ismail dalam kenyataannya mengajak rakyat untuk menobatkan Mejar Zaidi sebagai ikon pejuang demokrasi dan ikon pejuang keamanan.

"Marilah bersama kita membantu beliau ketika beliau susah kerana beliau telah berjuang untuk hak kita dan generasi seterusnya," kata beliau.

Isu Mejar Zaidi, katanya, adalah lambang kepada pencabulan demokrasi malah Mejar Zaidi dan penyokongnya akan kekal memperjuangkan hak demokrasi kerana mereka orang terdidik.


Tegas Nasaei, jika demokrasi yang ada pada hari ini kekal dicabul, dirosakkan, maka pemerintahlah yang membuka pintu rakyat Malaysia untuk bertindak di luar batas demokrasi sehingga menjadi militan.

"Kita menolak perjuangan luar batas demokrasi, kita mahukan keamanan. Tetapi kerajaan mesti bertanggungjawab. Pokoknya isu dakwat yang dikatakan kekal sebenarnya bohong. Ianya tidak kekal. Boleh dipadamkan dan berpotensi mengundi kali kedua,"katanya.

Sebelum ini, Mejar Zaidi yang membuat pendedahan dakwat kekal dalam pengundian tahun 2013 dahulu 'tidak kekal' dijatuhkan hukuman bersalah kerana mengeluar kenyataan media tanpa kebenaran Majlis ATM.

Mejar Zaidi dihukum buang kerja daripada perkhidmatan Yang di-Pertuan Agong oleh Mahkamah Tentera, keputusan itu dibuat oleh lima panel diketuai Yang Dipertua Mahkamah Tentera Kolonel Saadon Hasnan selepas mendapati tertuduh bersalah terhadap pertuduhan itu.

Zaidi didakwa membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal, yang sepatutnya perkara itu disiasat melalui saluran pihak angkatan tentera, tanpa mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan. -HD


Negara hilang seorang pegawai tentera yang baik, kata Bersih

Kumpulan pendesak pilihan raya Bersih 2.0 menyifatkan negara hilang seorang tentera yang baik selepas pemecatan Mejar Zaidi Ahmad yang diputuskan Mahkamah Tentera hari ini.

Selepas berbulan-bulan turun naik ke mahkamah, Zaidi yang berkhidmat bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 26 tahun kini dilucutkan daripada jawatannya hanya kerana laporan polis terhadap dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Beliau didapati bersalah kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan media sebelum mendapat kebenaran menteri pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera mengikut Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.

"Mejar Zaidi memainkan peranannya sebagai rakyat dengan membangkitkan skandal terbesar yang meragukan semasa PRU13.

"Untuk itu, beliau terpaksa membayar dengan harga yang tinggi, dan negara hilang seorang tentera sejati hari ini,"
kata Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih juga melahirkan kekecewaan terhadap keengganan mahkamah yang tidak mahu menunggu terlebih dulu semakan kehakiman tetapi sebaliknya terus menjatuhkan hukuman.

"Bersih 2.0 kecewa kerana mahkamah tidak menunggu semakan yang dibuat untuk mencabar pihak berkuasa terbabit daripada membuat keputusan, sebaliknya bantahan daripada pembelaan terhadap keadilan dan integriti prosiding dibelakangkan," katanya.

"Kami akan tunggu semakan kehakiman untuk permohonan kebenaran yang akan didengar pada 5 Februari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai salah satu langkah menegakkan keadilan kepada Mejar Zaidi,” katanya.

Zaidi didakwa mengikut Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur.

Kontroversi dakwat kekal yang digunakan buat pertama kali pada PRU13, dikritik selepas ramai pengundi mengadu ia boleh dibasuh dengan mudah.

Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) menegaskan kegagalan sistematik dakwat kekal semasa pengundian awal dan hari pengundian menjejaskan hasil pilihan raya itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya akhirnya mengaku pada November lalu dakwat kekal digunakan pada PRU13 mempunyai kelemahan; antara lain, ia boleh dibasuh dan mengambil masa yang lama untuk kering dan kerana itu ia meninggalkan kotoran pada kertas undi. Bagaimanapun SPR menegaskan dakwat kekal masih akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.

Zaidi, yang berpangkalan di kem Butterworth di Seberang Prai, Pulau Pinang, adalah seorang daripada 235,826 kakitangan pasukan keselamatan dan pasangan di seluruh negara yang mengundi lebih awal pada 30 April 2013.
-TMI

Tiada ulasan: