Isnin, 5 Januari 2015

Ibu bapa rasa terbeban hadapi sesi persekolahan 2015

IZWAN ABDUL HALIM


RUTIN tahunan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak bagi memasuki sesi baru persekolahan 2015 sememangnya sesuatu yang membebankan.

Namun, kuatnya naluri keibubapaan hinggakan digagahi semampu usaha dalam memastikan anak-anak memperolehi pendidikan terbaik.

Dengan persaingan akademik kian mencabar, titipan kejayaan anak-anak dilihat pencapaian yang wajib diperolehi sekaligus menuntut keperluan berkaitan dipenuhi jua.

Jumlah besar dalam tanggungan untuk anak-anak memulakan sesi baru persekolahan ini menyebabkan ramai dari kalangan ibu bapa berpendapatan sederhana turut melakukan penyelarasan pendapatan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan.

Apatah lagi mereka yang berpendapatan kecil, perbelanjaan harian dikawal semata-mata memenuhi keperluan sekolah anak.

Berkongsi keadaan sepertimana kebanyakan ibu bapa berpendapatan kecil, seorang pesawah dari Kota Sarang Semut, Mohamad Fauzi Mat Khir berkata, beliau menghabiskan lebih RM1,200 untuk tiga anaknya memasuki sesi baru persekolahan.

Menurut beliau, perbelanjaan itu tidak termasuk bayaran yang dikenakan pihak sekolah.

“Kita tak tunjuklah depan anak-anak, tapi anak-anak ni dia macam perasan, bila kita bagi duit pada dia untuk belanja, dia ambik separuh saja,” terangnya yang menanggung dua anak bersekolah rendah, seorang di sekolah menengah dan dua di institusi pengajian tinggi.

Terangnya, menjadi kelaziman ibu bapa sepertinya menghadapi sesi baru persekolahan dengan berhutang kepada pihak tertentu.

Beliau yang mengusahakan sawah padi seluas lima relung memperolehi pendapatan purata kira-kira RM1,000 sebulan setelah ditolak sewaan petak sawah dan perbelanjaan untuk pengeluaran padi.

Katanya, pendapatan tersebut sememangnya tidak mencukupi di mana hasil padi adakalanya tidak menentu. Sedangkan perbelanjaan harian persekolahan anak-anak menggunakan 70 peratus dari pendapatan, manakala selebihnya untuk perbelanjaan harian keluarga.

Maka, bagi menampung kekurangan tersebut, Fauzi membuat jualan nira nipah sebagai pendapatan tambahan.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana tidak mampu menghantar anak-anak ke kelas tuisyen tambahan sedangkan perkara itu amat penting pada cabaran hari ini di mana anak-anak akan ketinggalan dalam akademik tanpa mendapat bimbingan tambahan.

Sementara itu bagi surirumah, Noriza Saidin dari Mergong turut mengakui perkara sama.

Menurutnya, perbelanjaan untuk dua anaknya yang berada di sekolah menengah termasuk seorang di sekolah berasrama dan seorang di sekolah rendah, menggunakan belanja sebanyak RM1,530 untuk sesi baru persekolahan ini.

Dengan pendapatannya yang bekerja sendiri hanya sekitar purata RM400 sebulan, perbelanjaan sedemikian sememangnya membebankan.

Menghadapi situasi tersebut, beliau melakukan jualan kecil-kecilan di samping perkhidmatan berbekam.

Selain itu, beliau juga berjimat cermat selain ‘bermain kutu’ sebagai satu bentuk simpanan dan dua anak Noriza yang sudah bekerja turut membantu beliau seadanya.

Kisah mereka antara secebis nasib dihadapi oleh kebanyakan penduduk di negara ini yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Lantaran itu amat sesuai sekali melihat usaha bantuan persekolahan menjadi persaingan baharu parti-parti politik.

Dalam realiti hari ini, keperluan persekolahan anak-anak memerlukan minimum persalinan asas bagi kegunaan harian.

Bantuan persekolahan sudah tidak berupaya menanggung murid yang ramai dengan nasib sama.

Terkadang murid terus ke sekolah atas ihsan guru tertentu yang bermurah hati menyediakan keperluan. Tetapi berapa ramai guru seperti itu dan berapa ramai mampu dikasihaninya?

Ini tidak termasuk perbelanjaan harian anak-anak ke sekolah. Benarlah menyediakan bekalan makanan merupakan alternatif terbaik, tetapi perlu dipersoalkan juga mengenai harga jualan di kantin sekolah.

Wajarkah dengan pelanggannya dari kalangan mereka yang tidak memiliki pendapatan sendiri dikenakan kadar seperti di tempat jualan lain?

Tahun ini juga ibu bapa menghadapi cabaran caj bas sekolah yang akan ditentukan bersama antara pihak sekolah, ibu bapa dan pengusaha bas.

Biarpun usulan itu nampak seperti harmoni, sebenar yang pasti terjadi ialah pengusaha bas tetap mahukan keuntungan. Wajarnya pula apabila kenaikan kos bahan api yang konsisten untuk meningkat berbanding penurunan.

Demikian itu, selain yuran persekolahan secara percuma, segala bayaran berkaitan sekolah juga mesti ditanggung pihak kerajaan.

Malah, mungkin tidak keterlaluan agar mekanisme khusus diadakan untuk memastikan keperluan asas memasuki persekolahan dapat diadakan ibu bapa berpendapatan rendah menerusi skim atau bantuan tertentu.

Kita percaya, semua kerajaan di dunia mengakui pendidikan adalah perkara sangat penting untuk dijayakan sesebuah negara.

Untuk itu, Malaysia sepatutnya antara yang paling terkehadapan memastikan hal ehwal pelajar untuk melangkah ke alam persekolahan berada dalam keadaan terbaik berbanding negara-negara lain di dunia. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: