MALAYSIAKINI
Selepas dua pengarang kanannya ditamatkan kontrak, organ rasmi PAS Harakah kini meminta ketua pengarang akhbar itu sendiri Ahmad Lutfi Othman, yang sedang bercuti sakit, meletakkan jawatan.
Langkah itu dikaitkan abangnya Dinsman, juga seorang penulis terkenal,
dengan beberapa tulisan yang didakwa mengkritik kepimpinan ulama dalam
PAS.
Menurut sumber, pertemuan dengan Ahmad Lutfi (kanan) dibuat minggu lalu bagi memaklumkan “permintaan” yang diputuskan mesyuarat ahli lembaga pengarah Harakah Disember lalu.
"Atas faktor kesihatan, beliau dinasihatkan berhenti dan ditawar 'pencen
illat' dengan bayaran separuh gaji oleh PERKESO (Pertubuhan Keselamatan
Sosial).
"Bagaimanapun beliau menolak tawaran itu dan merayu agar terus diberikan kerja itu," kata sumber kepada Malaysiakini, yang tidak mahu namanya disiarkan.
Menurut sumber itu lagi, ahli lembaga pengarah Harakah yang
dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali akan
membincangkan perkara itu semula pada mesyuarat mereka Februari akan
datang.
Ditanya siapa bakal mengetuai lidah rasmi PAS itu tanpa Lutfi, sumber
itu memaklumkan kemungkinan ia diisi oleh Timbalan Ketua Pengarang
Kumpulan Harakah, Taufek Yahya.
Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Ahmad Lutfi berhubung perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan