Selasa, 13 Januari 2015

DAP persoal monopoli permit pekerja asing MyEG

Teresa Kok Suh Sim (15)

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu meneruskan kaunter permohonan manual pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sehingga masalah sistem atas talian dan bayaran MyEG diselesaikan.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim berkata, KDN perlu menjelaskan mengapa bayaran RM38 dikenakan terhadap perkhidmatan e-pembekal MyEg sedangkan permit sebelum ini dikeluarkan tanpa bayaran.

Beliau turut mempersoalkan keputusan mengenakan bayaran lebih tinggi iaitu RM58 kepada majikan yang membeli perlindungan insurans dari agen lain selain MyEG, sekaligus menggalakkan monopoli.

“Adakah ini satu langkah yang adil dan berpatutan kepada majikan serta syarikat insuran yang lain? Kenapa wujud monopoli sebegini kepada MyEG? kata Teresa dalam satu kenyataan.

Jabatan Imigresen baru-baru ini mengumumkan permohonan pembaharuan PLKS yang dibuat secara manual di kaunter imigresen akan dihentikan bagi memberi laluan kepada permohonan secara dalam talian menerusi MyEG bermula 5 Januari lalu.

Bagaimanapun ramai majikan menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap pelaksanaan baharu itu yang diumumkan ‘secara tiba-tiba’.

Malah caj RM38 yang dikenakan bagi setiap permohonan juga tidak munasabah sehingga membebankan majikan terutama bagi yang mempunyai ramai pekerja asing selain sistem MyEG yang sering tergendala dan melambatkan urusan.

KDN sebelum ini mempertahankan bayaran RM38 dikenakan MyEG untuk permohonan atas talian permit, kononnya untuk menanggung kos operasi dan pengurusan perkhidmatan.

Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP menegaskan, dakwaan tersebut jelas tidak memuaskan dan ramai pengguna merungut mengenai bayaran RM38 yang tidak adil itu.

Beliau turut mempersoalkan mengapa purata levi RM1,755 untuk setiap pekerja atau jumlah agregat RM4.4 bilion kini telah dibayar kepada MyEG bukannya Jabatan Imigresen.

“Bolehkah Menteri KDN Datuk Seri Zahid Hamidi menjelaskan berapa lama masa diperlukan MyEG untuk mengembalikan kutipan kepada kerajaan?

“Mengapa majikan perlu mengeluarkan cek atas nama ‘MYEG’ berbanding kepada ‘Ketua Pengarah Imigresen’ seperti sebelum ini?

“KDN perlu terus membuka kaunter permohonan manual dan menyelesaikan terlebih dulu semua aduan serta pertanyaan berkaitan aplikasi atas talian ini,” tegasnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: