Ramesh Rao Ramesh Rao
 
 
SHAH ALAM - Pergolakan dalaman pucuk pimpinan MIC hanya menemui jalan buntu selagi mana bekas pemimpin parti itu masih mencampuri perjalanan serta menentukan hala tuju parti komponen BN itu.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao menegaskan sudah tiba masanya MIC mempunyai pemimpin baharu yang tidak dibayangi oleh kepimpinan lama.

"Kita mahu melantik pemimpin yang tidak dengar cakap pihak ketiga, berdiri di atas kaki sendiri dan mampu memberikan yang terbaik untuk kaum India.

"Kita mahukan Presiden yang neutral, kita tidak mahu presiden yang berpuak-puak, kita tidak mahu presiden yang dikongkong dan dikuasai oleh kuasa ketiga yang tidak boleh membuat pilihan, yang tidak boleh membuat tindakan," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Setiausaha Agung MIC, Datuk G Kumar Aaman yang melakukan mogok lapar di pekarangan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), semalam dan tindakan sama berterusan sehingga ke hari ini.

Kumar yang memulakan mogok lapar pada 2 petang semalam itu sebagai membantah arahan ROS yang diterimanya pada Isnin, menyatakan kedudukannya sebagai setiausaha agung MIC tidak sah.

Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel mengumumkan pelantikan Kumar sebagai setiausaha agung parti itu pada awal bulan ini bersama pelantikan lain ke jawatan utama dalam parti.

Susulan insiden itu, Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah dalam satu kenyataannya semalam mengatakan dakwaan terhadap penyelewengan daripada pegawai siasatan ROS yang menjalankan kes itu adalah tidak berasas sama sekali.

Mengulas lanjut, Ramesh juga mendakwa presiden MIC sedia ada pun perlu lebih bebas daripada pengaruh pihak luar.

"Kita tidak mahu begini, ramai lagi muka-muka baharu yang boleh diberi peluang untuk menerajui kepimpinan MIC," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya lagi, sekiranya pergolakan dalaman MIC itu tidak diselesaikan segera, ia hanya akan merugikan BN dan menguntungkan pembangkang.

"Setiap kali MIC bergolak, akan tertubuhnya parti-parti baharu, contohnya IPF, MUIP, Makkal Sakthi, kenapa banyak sangat parti India.

"Orang India berpecah setiap kali MIC bergolak, ahli-ahli MIC lari kepada PR, dia lari bukan dia sokong PR tetapi dia lari kerana kecewa dan marah dengan MIC," dakwanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Palanivel supaya melakukan perbincangan meja bulat dengan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan pergolakan MIC dengan baik.

"Sokongan India akan kembali sekiranya MIC pulih dan kembali ke landasan perjuangan sebenar.

"85 peratus penyokong MIC atau kaum India yang kini bersama dengan PR adalah bekas penyokong MIC, jika MIC pulih peluang mereka kembali sangat cerah," katanya lagi.