Khamis, 15 Januari 2015

Bapa Altantuya persoal motif, tetap saman kerajaan Malaysia

KEADILAN DAILY


ULAN BATOR - Bapa kepada wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibunuh dengan kejam pada 2006, tetap mempersoalkan motif pembunuhan anaknya itu.

Setev Shaariibuu berkata, beliau bersama isteri dan dua cucunya gembira mengetahui dua tertuduh kes itu, Azilah Hadri dan Sirul Azhar didapati bersalah dan  dijatuhi hukuman mati.
bapa altantuya
Katanya, ini bermakna kes itu akhirnya telah selesai dan beliau boleh meneruskan samannya terhadap kerajaan Malaysia, dan dua pegawai yang didakwanya bertanggungjawab atas kematian anak perempuannya itu.

Bagaimanapun beliau terus mempersoalkan motif di sebalik pembunuhan Altantuya yang diletupkan dengan peledak di sebuah kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 19 Oktober 2006.

“Sehingga hari ini, saya tidak tahu kenapa dia dibunuh,” katanya seperti dilapor portal Malaysiakini.

Sementara itu, Setev juga menyuarakan kebimbangan apabila tertuduh kedua dikatakan hilang dan tidak hadir di mahkamah hari ini.

“Saya berharap polis dapat mencari segera, barulah keadilan ditegakkan untuk anak perempuan saya,” katanya.

Setev juga percaya hubungan antara Malaysia dan Mongolia, yang didakwanya tegang ekoran perbicaraan kes pembunuhan Altantuya, akan bertambah baik dengan keputusan terbaru itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Panel yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Azilah dan Sirul dan mengekalkan hukuman mati.

Setev memfailkan saman sivil pada 4 Jun 2007, mendapatkan gantirugi RM100 juta daripada penganalisis politik Abdul Razak Baginda dan dua pegawai polis.

Abdul Razak, rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, pada awalnya dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudiannya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Setev memfailkan saman itu bagi pihak isterinya, Altantsetseg Sanjaa, dan dua cucu mereka – Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga – yang ketika itu masing-masing berusia lapan dan 13 tahun.

Tiada ulasan: