MALAYSIAKINI
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata ia menghadapi cabaran getir dalam
usaha memulihkan bekalan elektrik ke kawasan Kuala Krai berikutan arus
Sungai Kelantan yang deras di Kampung Raba.
Syarikat pembekal tenaga itu berkata ia kini giat menjalankan kerja
membaik pulih talian atas merentasi Sungai Kelantan yang menghubungkan
Kuala Krai dan Dabong merangkumi enam pencawang elektrik.
Pengurus Besar Kanan (Operasi-Wilayah 2) Bahagian Pembahagian TNB, Abdul
Aziz Abdul Majid berkata 51 daripada 62 pencawang yang masih dipotong
bekalan di Kelantan terdapat di Kuala Krai.
Sepuluh lagi pencawang terletak di Gua Musang dan satu di Jeli.
"Enam pencawang elektrik di Kuala Krai telah musnah dihanyutkan air dan
kerja membangunkannya semula akan mengambil sedikit masa," katanya dalam
kenyataan.
Jumlah pencawang elektrik yang belum dipulihkan di Pahang menurun kepada
33 berbanding 585 pencawang yang dipotong ketika banjir manakala di
Perak, hanya tujuh daripada 88 pencawang yang dipotong bekalan semasa
banjir, masih belum dipulihkan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan