Khamis, 22 Januari 2015

Banjir cetus pembelian panik bahan api

MALAYSIAKINI



 


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan sedang mencari ikhtiar untuk membawa bekalan petrol dan diesel ke kawasan sekitar Limbang selepas menerima aduan kekurangan bahan api berkenaan di kawasan itu.

Timbalan Pengarah pejabat KPDNKK Sarawak Abd Hafidz A Rahim berkata bekalan bahan api itu sebenarnya mencukupi namun disebabkan banjir, masalah bekalan yang tidak sampai serta pembelian panik mengakibatkan beberapa stesen minyak berhadapan masalah kekurangan bekalan.

Beliau berkata pihaknya sudah berbincang dengan pembekal, dan lori-lori tangki sudahpun disediakan untuk membawa bekalan berkenaan dari Bintulu petang ini, sehingga ke jalan-jalan yang tidak dapat diakses lagi akibat banjir.

"... kemudian dari situ mungkin kita akan minta bantuan pihak tentera atau mana-mana pihak yang boleh mengangkut bekalan berkenaan menggunakan tong-tong besar ke tempat-tempat yang akan dikenal pasti di Lawas nanti, tengoklah keadaan petang ini," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya ketika ini pihak KPDNKK sudah mengeluarkan arahan kepada pengusaha stesen minyak di sekitar Limbang supaya mengehadkan penjualan kepada hanya 30 liter bagi seorang pengguna.

Bahagian Limbang yang terletak di zon utara Sarawak merupakan satu daripada empat bahagian yang berhadapan dengan musibah banjir ketika ini, yang mengakibatkan beberapa penempatan terutama di kawasan pedalaman terputus hubungan sejak beberapa hari lepas.

Abd Hafidz berkata bekalan di tempat lain di zon utara seperti di Lawas, tidak menghadapi banyak masalah kerana bekalan bahan api itu boleh dihantar menerusi Sabah.

Sementara itu, menurutnya pihak kementerian sedang membuat pemantauan rapi terutama di kawasan yang dilanda banjir bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan berlebihan ekoran banjir.

Katanya semua pejabat KPDNKK di Sarawak sudah diarah supaya dibuka sehingga pukul 10 malam sejak banjir mulai melanda beberapa minggu lepas, bagi memudahkan lagi orang ramai tampil membuat sebarang aduan.

Beliau berkata KPDNKK ketika ini memberi lebih tumpuan kepada aspek pemantauan untuk melihat mana-mana tempat yang menghadapi masalah bekalan barang keperluan ketika banjir, dan menurutnya "Ops Catut" mungkin akan digerakkan dengan lebih gigih di Sarawak apabila banjir semakin pulih nanti.

Ops Catut digerakkan di seluruh negara mulai 15 Jan lepas bagi memantau harga barangan dan perkhidmatan menjelang pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 April ini. - Bernama

Tiada ulasan: