MALAYSIAKINI
Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri
sudah bersedia menerima apa jua keputusan mahkamah dan tidak akan lari
daripada hukuman dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya
Shaariibuu.
Perkara ini disampaikan oleh Azilah kepada bekas tunangnya Norazila
Baharuddin, 37, semalam dan kesempatan itu turut diambilnya untuk
memohon maaf kepada Norazila atas apa yang telah berlaku antara mereka.
"Azilah telah bersedia hadapi apa jua keputusan yang ditetapkan
mahkamah. Dia akan terima sama ada baik atau buruk. Dia tak nak lari
daripada hukuman," kata Norazila berhubung keputusan Mahkamah
Persekutuan yang menjatuhkan hukuman mati ke atas anggota UTK itu.
Norazila memberitahu Bernama bahawa ketika menghubungi beliau semalam,
Azilah juga berterima kasih kepada peguam Datuk Hazman Ahmad yang
mewakilinya dan yakin bahawa Hazman telah mengemukakan hujah terbaik.
Nurazila yang telah mendirikan rumahtangga dengan pilihan hatinya pada
Mei lalu berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Azilah ialah
ketika Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah iaitu pada Ogos 2013.
Katanya walaupun hubungan antara mereka telah berakhir, namun sebagai sahabat beliau akan tetap melawat Azilah di penjara kelak.
Seorang lagi tertuduh, yang juga anggota UTK Koperal Sirul Azhar Umar
tidak hadir ke mahkamah hari ini hingga mahkamah mengeluarkan waran
tangkap terhadapnya.
Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah
dan Sirul Azhar selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan
tahun lalu.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara
Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan
pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua UTK itu selepas membenarkan
rayuan pihak pendakwaan.
Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum,
Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri
Ahmad Maarop.
Dalam penghakiman yang dibacakan Suriyadi, mahkamah berpuas hati bahawa
kedua-dua responden gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke
atas kedua-dua responden selepas mendapati mereka bersalah melakukan
pembunuhan itu.
Kedua-dua responden didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja,
Shah Alam antara pukul 10 malam pada 19 Okt dan jam 1 pagi pada 20
Oktober 2006.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan