Jumaat, 2 Januari 2015

Apa yang penting, kerajaan negeri bantu mangsa - MB

SALMAH MAT HUSAIN



Ustaz Ahmad menziarahi mangsa helikopter terhempas di Tanah Merah yang menerima rawatan di HUSM.




KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan negeri mengutamakan kepentingan rakyat berbanding politik dalam semua perkara termasuk soal kesengsaraan rakyat dalam menempuh kehidupan selepas banjir.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah meletakkan soal politik di hadapan, sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat seluruhnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir kali pertama di Kota Darulnaim, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah, exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

“Apa yang penting sekarang, kerajaan negeri dapat membantu mangsa,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau berkata, kemusnahan di Kelantan akibat banjir itu dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan untuk dipulihkan.

Katanya, ia bukan sahaja memerlukan peruntukan yang amat besar, sebaliknya perlu mengumpul segala jentera kerajaan dan semua pihak untuk membangun semula negeri terutama bahagian yang musnah teruk akibat banjir.

Untuk peringkat pertama ini, menurutnya kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM50,000 kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terjejas teruk akibat banjir.

“Ianya bertujuan untuk membersih kawasan masing-masing yang menerima kesan akibat banjir.

“RM50,000 lagi untuk pelajar sekolah Yik sumbangan akan diagihkan melalui Yakin bagi menyediakan kelengkapan sekolah pada mangsa banjir,” ujarnya.

Sehingga kini, katanya kerajaan negeri tidak dapat menyenaraikan kos sebenar kerugian akibat banjir kerana masih dalam kajian terperinci.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 1,500 buah rumah yang bukan sahaja tidak boleh dibaiki, sebaliknya hanya tinggal tapak kediaman semata-mata akibat banjir di seluruh Kelantan.

“Begitu juga perkhidmatan TNB setakat ini telah mencapai 70 peratus pulih, manakala selebihnya dalam proses baik pulih terutama di Kuala Krai dan Gua Musang.

“Begitu juga bekalan air dari AKSB sudah sampai tahap 68 peratus baik pulih khususnya di loji air,” ujarnya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: