Selasa, 6 Januari 2015

Adakah Zahid dapat BENDA – PERKASA

FREE MALAYSIA TODAY


Menteri Dalam Negeri melakukan pengkhianatan keselamatan serta merosakkan keintegritian dan imej baik negara.

zahid perkasa2


PETALING JAYA: ”Adakah Datuk Seri ( Dr Ahmad) Zahid Hamidi berbuat sedemikian kerana beliau mendapat ‘BENDA’,” soal Ahli Dewan Tertinggi PERKASA, Azrul Akmal Saharudin mengenai tindakan Menteri Dalam Negeri itu menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Pertanyaan tersebut dikemukakan berikutan tindakan mengutus surat itu dilihat sebagai usaha membersihkan penjudi profesional, Paul Phua yang ditahan di Amerika Syarikat kerana terbabit dalam kegiatan kongsi gelap antarabangsa serta jenayah perjudian.

Sehubungan itu beliau mempertikaikan integriti Ahmad Zahid yang sanggup menulis surat kepada FBI untuk membebaskan penjenayah yang didakwa di luar negara.

Katanya, ”Kita sedia maklum jenayah melibatkan perjudian ini habuannya besar. Jika di Malaysia sahaja, keuntungan bagi pengusaha mesin judi haram ini mencecah jutaan ringgit sehari.

”Persoalannya, adakah Dato’ Seri Zahid Hamidi berbuat sedemikian adalah kerana beliau mendapat “BENDA” sepertimana yang diungkapnya dulu kepada Naib Presiden PERKASA, Tan Sri Rashid?” soalnya dalam kenyataan media.

Azrul Akmal mendakwa, surat yang sudah tersebar di kalangan komuniti media sosial seolah-olah surat sokongan bahawa Paul seorang yang baik dan berjasa kepada kerajaan.

Menurut beliau, perkara yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri itu merupakan suatu ”pengkhianatan keselamatan negara serta merosakkan keintegritian dan imej baik negara.”

”Perkara ini lebih besar kerana ia melibatkan unsur salahguna kuasa serta mempunyai unsur rasuah dan yang paling jijik sekali, kedua-dua unsur ini digunakan untuk melepaskan seorang penjenayah yang berpotensi menjadi ancaman kepada negara yang disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap serta perjudian antarabangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu Azrul Akmal mempersoalkan, apakah tindakan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid dalam pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta mendapat nasihat Ketua Polis Negara dan Pejabat Peguam Negara.

Tiada ulasan: