PLKN
 
 

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,088 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari tiga kem di Kelantan akan dipindahkan ke kem negeri lain mulai esok, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk 378 pelatih dari Kem Cancun Park di Pasir Mas, Kem Batu Jong di Kuala Krai (344) dan di Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang (366).

Kem yang dikosongkan itu akan digunakan sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir di negeri itu.

"Proses pemindahan pelatih PLKN ke kem negeri lain akan mengambil masa dua hari iaitu esok dan Ahad.

"Pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara juga telah mengenal pasti kem-kem PLKN di Terengganu, Pahang, Perak dan Selangor untuk menerima pelatih PLKN dari kem Kelantan ini," katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian jaket kepada kontinjen MALBATT 850-1 dan MALBATT 850-2 di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, pemindahan kesemua pelatih berkenaan telah dimaklumkan kepada keluarga peserta.   

Dalam pada itu, beliau berkata  setakat semalam, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan sebanyak 319 penerbangan menggunakan aset-aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menjayakan operasi Ops Murni di seluruh negara sejak 25 Disember lepas.

Katanya, sebanyak 790 tan bekalan banjir telah disalurkan ke negeri-negeri terlibat melalui penerbangan berkenaan.

"Bagi pusat pengumpulan bekalan di Pangkalan Udara TUDM Subang sehingga semalam, sebanyak 3,409.5 tan bekalan telah diterima dan daripada jumlah tersebut 3,227 tan bekalan telah diagihkan ke kawasan banjir," katanya.

Menyentuh insiden serangan ke atas pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo pada Rabu lepas, Hishammuddin berkata insiden seumpama itu tidak boleh diambil mudah dan ancaman itu boleh berlaku di mana-mana negara.

"Apa yang dilakukan di Paris bukan ajaran Islam. Tindakan mereka adalah salah dari sisi agama," katanya.

Dalam insiden Rabu lepas, tiga orang bersenjata api dan bertopeng, melepaskan tembakan di pejabat Charlie Hebdo di Paris menyebabkan 12 orang terbunuh dan tiga lagi cedera parah.

Menyentuh penahanan bekas komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan IS, Hishammuddin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi mencegah kegiatan militan menular dalam kalangan rakyat negara ini.

"Daripada agensi-agensi risikan antarabangsa sama ada di Amerika Syarikat, China dan United Kingdom, mereka melihat fenomena terpengaruh dalam militan adalah disebabkan media sosial," katanya.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan bahawa bekas komando ATM ditahan pihak berkuasa Arab Saudi di Riyadh pada 28 Disember lalu kerana  dipercayai terlibat dalam kumpulan militan IS.

Bekas komando itu, yang berasal dari Perak, adalah antara 132 militan yang ditahan di sempadan Saudi-Jordan. - Bernama