Jumaat, 20 Jun 2014

YTL tarik diri projek janakuasa Track 4A, tamparan terhadap ketelusan kerajaan

tony parlimen 2

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Keputusan YTL Corporation menarik diri daripada rundingan terus loji janakuasa Track 4A memberi tamparan hebat kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) yang gagal menjalankan tender secara terbuka, kata Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Katanya, tindakan yang dilakukan itu kali pertama dalam sejarah apabila sebuah syarikat secara terbuka menolak konsesi lumayan dari kerajaan, walaupun dianugerah melalui rundingan terus.

“Walaupun langkah YTL wajar diberi pujian, namun ironinya ‘pengorbanan’ dilakukan bagi ‘mengelak kesangsian terhadap komitmen tadbir urus dan ketelusan kerajaan’. Jadi ia jelas merupakan tamparan kepada ST dan amalan tidak telus kerajaan.

“Projek 4A bukan saja dirunding secara terus, malah termanya juga samar-samar, tidak spesifik dan disediakan secara tergesa-gesa.

“Lebih buruk lagi, perjanjian konsortium antara YTL, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan SIPP Energy, syarikat yang dikaitkan dengan Sultan Johor, masih tidak selesai.

“Ini menunjukkan ST memanipulasi proses penganugerahan keseluruhan untuk memihak kepada syarikat konsesi tertentu dengan tidak mengambil kira prinsip tadbir urus yang baik, tender berdaya saing dan ketelusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Publisiti DAP itu menegaskan, ST harus berasa malu apabila ketidaktelusan dan kegagalan memastikan tadbir urus yang baik akhir didedahkan oleh syarikat swasta.

“Ini merupakan satu penghinaan besar terhadap misi dan matlamat mewujudkan persekitaran berdaya saing dalam sektor tenaga negara bagi memastikan tarif elektrik serendah mungkin kepada rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat korporat lain untuk mengikut jejak langkah YTL dengan menolak tawaran serupa daripada kerajaan dan meminta semua projek dibuat melalui tender terbuka.

“Ketika kerajaan kelihatan gagal, apakah keterlaluan untuk mengharapkan syarikat-syarikat korporat Malaysia memulakannya?” kata Pua.

Rabu lalu, YTL melalui kenyataan kepada Bursa Malaysia mengambil keputusan untuk tidak terlibat dalam projek janakuasa Track 4A di Johor.

Pengeluar janakuasa bebas negara itu berkata, pihaknya sedia untuk mengambil bahagian dalam projek itu atau projek lain pada masa akan datang sekiranya ia melibatkan syarat-syarat yang berdaya saing. – Roketkini.com

Tiada ulasan: