Jumaat, 20 Jun 2014

Universiti Malaysia terkeluar senarai THE Asia, bukti kerajaan gagal

okm

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kedudukan universiti awam Malaysia yang langsung tidak tersenarai dalam senarai terkini Times Higher Education (THE) untuk benua Asia menunjukkan kegagalan kerajaan meningkatkan mutu pendidikan negara, kata Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming.

“Perkembangan ini amat merungsingkan kerana kerajaan kononnya telah melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan prestasi Institusi Pengajian Awam (IPTA) sejak 5 tahun lalu agar dapat menjadi antara terbaik di dunia.

“Malangnya berdasarkan senarai kedudukan terbaru oleh THE, untuk benua Asia pun kita masih gagal tersenarai. Ini jelas menunjukkan usaha yang dijalankan kerajaan sama sekali gagal.

“Jadi, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kualiti pendidikan negara kembali ke tahap sepatutnya,” kata Kian Ming kepada Roketkini.

THE hari ini telah mengeluarkan senarai terkini 100 universiti awam terbaik Asia 2014, yang menunjukkan Malaysia tidak langsung tersenarai di dalamnya.

Lima universiti yang tersenarai dalam 10 universiti terbaik Asia adalah universiti negara Jepun, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China.

Singapura menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila National University of Singapore (NUS) berada kedudukan di tangga kedua dan Nanyang Technological University (NTU) di tempat ke 11.

India turut mempamerkan peningkatan mutu pendidikan apabila institusinya tersenarai antara 100 terbaik berbanding tiga tahun lalu.

Malah negara jiran, Thailand yang bergelumang dengan pelbagai masalah politik turut tersenarai dalam kedudukan 100 universiti terbaik Asia melalui King Mongkut’s University of Technology dan Universiti Mahidol.

Universiti Malaysia gagal bagi kali kedua untuk masuk dalam senarai setelah kali terakhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menempati tangga ke-98 pada tahun 2012.

April lalu, universiti awam Malaysia gagal tersenarai dalam 100 universiti terbaik Times Higher Education bagi universiti di bawah usia 50 tahun, selain gagal tersenarai dalam ranking terbaik dunia yang dikeluarkan THE, Mac lalu. -Roketkini.com

Tiada ulasan: