KUALA LUMPUR: UMNO menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy Samat
hari ini kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya
Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil Teluk Intan baru-baru ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,
Yammy perlu menjawab surat tunjuk sebab itu dalam tempoh 14 hari bagi
dipertimbangkan untuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam
perlembagaan UMNO.
“Jika tiada jawapan, terpulang kepada parti sebab tugas saya telah
selesai dan saya hanya menjalankan tugas," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri sambutan Hari Guru anjuran Yayasan Pendidikan Cheras
di sini hari ini.
Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, mengulas desakan
sesetengah pihak yang mahu tindakan diambil terhadap Yammy yang didakwa
telah berkempen untuk Dyana Sofya.
Yammy sebelum ini dilaporkan berkata beliau berharap kekal bersama UMNO
dan terpulang kepada parti itu untuk menentukan kedudukannya.
Pada PRK Teluk Intan Sabtu lalu, Dyana Sofya, 27, tewas dengan majoriti
238 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, 53. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan