Selasa, 24 Jun 2014

Tinggal seminggu lagi pelaksanaan, PT3 masih kabur

okm

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming mempersoalkan kerajaan yang masih gagal memberi penjelasan berhubung pelaksanaan sistem Penilaian Tingkatan 3 (PT3) yang akan menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, walaupun sudah masuk semester kedua persekolahan.

Menurut beliau, setakat pagi ini, surat pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan masih belum dapat diakses di laman web rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) sedangkan Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh menjelaskan di Parlimen pada 18 Jun lalu bahawa dua surat pekeliling dikeluarkan bagi menjelaskan PT3 dan telah dimuat naik ke laman web LP.

“Malangnya, setakat jam 10.15 pagi ini saya belum dapat mengakses laman web itu
(http://web.moe.gov.my/lp). Saya telah mencuba sejak Khamis lalu, namun tidak berjaya. Saya juga menjumpai laman web alternatif LP, iaitu http://www.lp.edu.my/. Hal yang sama berlaku apabila saya klik pada pautan PMR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat jam 12.30 tengah hari ini, kedua-dua pautan itu masih tidak boleh diakses.

Menurut laporan, PT3 akan dimulakan dengan Instrumen Kajian Kes berbentuk kerja kursus bagi subjek Sejarah dan Geografi, bermula 1 hingga Julai ini.

Namun sehinggai kini, masih ramai guru yang kabur dengan kaedah pelaksanaan PT3 yang merupakan sebahagian daripada sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang menerima kritikan hebat sebelum ini.

Pada 15 Jun lalu, Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng menggesa LP mengadakan pertemuan dengan semua guru yang terlibat secepat mungkin untuk menerangkan secara terperinci berhubung PT3 yang akan bermula 1 Julai ini.

Kata Kian Ming lagi, garis panduan pelaksanaan sistem baru itu patut dinyatakan secara terperinci di laman web LP bagi kemudahan semua pihak, apatahlagi salah satu surat pekeliling itu telah dikeluarkan kira-kira tiga bulan yang lalu.

“Jika guru sendiri risau dengan pelaksanaan PT3, saya hanya boleh bayangkan kekeliruan ibu bapa yang mempunyai anak di tingkatan 3. Dalam kajian ke atas keluarga berpendapatan rendah yang dijalankan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), didapati ada jurang maklumat antara rancangan kerajaan dengan maklumat yang diterima golongan miskin. Jurang itu pasti boleh dilihat pada pelaksanaan sistem ini,” katanya lagi.

IDEAS pada tahun lalu telah menjalankan kajian melibatkan 1,200 individu daripada golongan yang pendapatan mereka di tahap 40 peratus terendah dalam negara. Soal selidik yang dijalankan untuk kajian itu mendapati sebahagian besar mereka tidak pernah mendengar tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 yang dikeluarkan tahun lalu.

“Jika Kementerian tidak boleh melaksanakan sesuatu yang begitu asas, seperti menjelaskan sistem PT3, setakat mana ‘pencapaian’ yang disenaraikan dalam Laporan Tahunan 2013 PPPM yang dikeluarkan Kementerian sebelum ini boleh dipercayai?” soalnya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: