Khalid Samad Khalid Samad


KUALA LUMPUR - Pas Selangor hari ini menegaskan tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang engkar kepada keputusan Peguam Negara supaya memulangkan kitab Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM) tidak mempunyai kaitan dengan keputusan parti itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa, keputusan badan agama itu diputuskan tanpa pengetahuan dan di luar kawalan Kerajaan Negeri Selangor.

"Tindakan itu tiada kena mengena dengan Pas, walaupun wakil Pas sebagai Exco Agama dalam kerajaan negeri Selangor, namun tindakan dan arahan itu datang daripada Mais.

"Mais dipengerusikan oleh Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan beliau bukan ahli Pas serta tidak dilantik kerajaan negeri dan rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian Mais Sabtu lalu yang tidak bersetuju dengan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk tidak mendakwa BSM dalam isu rampasan 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban di Petaling Jaya, Januari lalu.

Menurut Mohamad Adzib, mesyuarat khas Mais Jumaat lalu menganggap masih ada ruang di dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadap BSM.

Dalam pada itu, Khalid menambah, Pas Selangor juga akan meminta Kerajaan Negeri Selangor mengkaji semula kuasa eksekutif yang diberikan kepada Mais sehingga boleh mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tanpa perlu meminta kelulusan.

Dakwanya jika perkara itu tidak diberi perhatian, kelak ia boleh menjejaskan reputasi dan imej institusi diraja memandangkan Mais dinaungi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Kita harap dapat kaji semula peranan dan kuasa Mais pada masa ini dan kita perlu kembali kepada kerajaan raja berperlembagaan untuk mengelakkan imej raja tercemar.

"Jika tidak dibendung Mais akan terus melakukan tindakan melulu hingga menganggap Jais itu pihak berkuasa mereka," katanya.

Khalid juga tidak menolak tindakan pengerusi Mais itu juga didakwa cuba mensabotaj kerajaan negeri Selangor sejak PR mengambil alih pentabiran negeri itu pada 2008.