Rabu, 18 Jun 2014

‘Tidak ada seorang pun pemimpin Umno membela peneroka’


Apabila ada peneroka Felda yang berani berhimpun menuntut hak mereka, itu adalah petanda awal negara akan berubah dalam masa terdekat


azminali_pray_300x200
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali, berjanji untuk memperjuangkan nasib peneroka yang tidak diberikan lesen persendirian dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menjual hasil mereka kepada kilang lain.

Jelasnya, walaupun perbahasan dalam dewan rakyat telah dihalang tetapi sebenarnya mereka (peneroka) tidak kalah dalam perjuangan mereka.

“Apabila ada peneroka Felda yang berani berhimpun menuntut hak mereka, itu adalah petanda awal negara akan berubah dalam masa terdekat,” ujarnya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, dahulu peneroka Felda dianggap sebagai kubu kuat Umno tetapi itu telah menjadi sejarah.

“Pada hari ini kita dapat saksikan Pakatan Rakyat telah bawa isu ini dan telah ditolak. Isu yang kita bawa bukannya politik tetapi isu rakyat.

“Ini bukan usul tetapi petisyen yang dibenarkan oleh perlembagaan tetapi itupun ditakuti oleh pemimpin Umno,” katanya.

Menghalang suara rakyat

Dapat dilihat, watak Ahli Parlimen Paya Besar (Datuk Abdul Manan Ismail) yang menjerit-jerit menghalang supaya suara peneroka tidak didengari.

“Bila waktu mengundi mereka mahukan undi daripada peneroka Felda tetapi setelah dipilih mereka pula menghalang suara rakyat Felda.

“Sedangkan berapa banyak Felda dalam Paya Besar dan beliau pula menikus, menjerit dan mengaibkan peneroka,” katanya

Jelas Azmin, selagi peneroka tidak diberikan kebebasan untuk menjual hasil buah mereka kepada pengilang yang mereka suka selagi itulah Felda akan menekan dan membuli peneroka dengan harga yang tidak munasabah.

“Hari ini tidak ada seorang pun pemimpin Umno yang datang membela,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa perkara itu telah direkodkan di dalam dewan rakyat tetapi telah ditolak Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia dengan memberikan alasan teknikal.

“Speaker telah memberi penjelasan bahawa petisyen itu seharusnya dibawa oleh seorang wakil rakyat, dan mengatakan bahawa ada tangatangan yang tercicir, serta ia ditolak berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya sewaktu sidang media di luar parlimen.

Jelasnya lagi, Speaker Dewan Rakyat harus bersikap adil kepada dua-dua pihak sama ada pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Bukan dengar suara kerajaan sahaja.

“Speaker harus adil dan bukannya mendengar suara pihak kerajaan sahaja,” ujarnya.

Speaker dewan turut menjelaskan bahawa mereka(peneroka) harus ikut perjanjian.

“Sampai bila mereka harus iikut perjanjian tersebut, kerana peneroka yang datang hari ini adalah peneroka yang sudah mendapat hak milik tanah mereka.

“Oleh itu, kenapa peneroka ini tidak dibenarkan menjualkan hasil mereka kepada pengilang yang mereka suka,” katanya.

Jelasnya lagi, ini adalah periuk nasi peneroka, dan kekayaan negara datangnya adalah hasil daripada titik peluh mereka, tetapi mengapakah pihak speaker tidak mahu mendengar luahan hati mereka.

Ujarnya, walaupun terpaksa menerima keputusan yang telah ditetapkan oleh Speaker Dewan Rakyat, namun suara peneroka tidak akan terhenti di sini.

Ucap tahniah

“Inilah hakikat parlimen, yang kita kena ubah pada masa hadapan,” katanya.

Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pula, beliau mengucapkan tahniah kepada peneroka yang berjuang untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Perjuangan untuk mengembalikan parlimen yang ‘berjiwa rakyat’ masih jauh dan tertegaknya parlimen ini adalah kerana mandat yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin,” katanya.

Jelasnya, perjuangan kita ini adalah untuk mengubah satu sistem yang lebih baik supaya semua suara rakyat dapat didengari.

“Inilah wajah Malaysia baru, pemimpin bangsa India membela orang Melayu dan orang Melayu pula membela bangsa lain serta inilah politik yang merentasi batasan kaum,” katanya.

Isnin lalu, Sivarasa dan tiga ahli Parlimen  Pakatan menghantar cadangan usul membahaskan perkara ini berserta petisyen yang ditandatangani 3,015 peneroka Felda yang menuntut supaya diberikan lesen oleh MPOB.

Tiada ulasan: