Selasa, 3 Jun 2014

Teluk Intan: kalah tempur, menang perang – Tony Pua


dyana pakatan




Saya berkampung selama 17 hari di Teluk Intan sebagai Pengarah Kempen untuk pilihanraya kecil di Teluk Intan yang baru berkesudahan dengan kekalahan calon DAP Dyana Sofya dengan beza undi tipis sebanyak 238 undi.

Beberapa analisis telah dibuat dan kritikan telah dilontarkan, malah lebih banyak lagi akan muncul dalam tempoh beberapa hari mendatang. Banyak orang terperanjat dengan kekalahan DAP. Sebahagian menganggap DAP alpa dan angkuh. Sebahagian yang lain menganggap DAP telah tersalah strategi.

Tidak diragui bahawa masih banyak ruang boleh diperbaiki dalam soal pelaksanaan kempen. Pasukan pengurusan kempen akan mengadakan bedah siasat sepanjang beberapa hari mendatang untuk memastikan kempen pilihanraya di masa depan dapat dikendalikan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, memang sejak awal kita tidak mengharapkan kempen yang mudah. Malah, pucuk pimpinan parti mengambil masa yang cukup lama untuk memutuskan nama calon kerana kemungkinan untuk kerusi parlimen Teluk Intan terlepas dari genggaman sememangnya tinggi.

Tidak kira siapa calonnya, pilihanraya kecil kali ini tidak akan menjadi semudah pilihanraya kecil Bukit Gelugor. Di sana, Barisan Nasional bahkan tidak berani pun untuk bertanding.

Sebelum nama calon diputuskan, pucuk pimpinan parti telah dimaklumkan oleh para penyokong di peringkat bawah tentang khabar angin bahawa masyarakat Cina akan memberi undi kepada Presiden Gerakan Mah Siew Keong. Hujah mereka memang menarik.

“Kami undi ‘Ubah’ dalam Pilihanraya Umum ke-13. Tetapi memandangkan pilihanraya kecil ini tidak akan memberi dampak kepada ‘Ubah’, maka kami akan mengundi Mah agar kami mendapat manfaat selama 3 tahun beliau menjadi menteri. PRU14 nanti kami akan undi ‘Ubah’ semula.”

Selain itu, DAP juga sedar bahawa para pengundi yang tinggal di luar Teluk Intan tidak begitu bersemangat untuk pulang mengundi kerana “Ubah” tidak akan berlaku dengan hanya mempertahankan satu kerusi parlimen.

Selain dua faktor yang disebutkan di atas, kita juga tahu bahawa jentera BN akan melambakkan ‘gula-gula’ sepanjang kempen untuk meraih undi, seperti yang terbukti menerusi pelbagai laporan polis dan akhbar sepanjang kempen di Teluk Intan.

Justeru itu, di kalangan pemimpin parti ada yang menyedari bahawa siapa pun calon yang dipilih – tidak kira Melayu atau Cina – dia mungkin akan kalah. Sebahagian yang lain percaya calon Cina yang ‘dikenali’ mungkin akan menang. Saya pula ketika itu berpendapat calon Melayu tidak semestinya akan kalah, manakala calon Cina tidak semestinya akan menang. Apa pun perbezaan pandangan di kalangan pemimpin parti, mereka menyedari sepenuhnya cabaran yang menanti untuk mengekalkan kerusi itu dalam tangan DAP.

Lim Kit Siang sendiri, sebagai pemimpin paling berpengalaman dalam parti, telah menyatakan sejak awal bahawa tugas untuk mempertahankan kerusi ini adalah sukar kerana di peringkat awal kempen kita hanya mempunyai 40% sokongan.

Maka, apakah kita telah tersalah strategi dengan mencalonkan Dyana Sofya untuk pilihanraya ini kerana kita tidak memahami “sentimen penduduk tempatan” di Teluk Intan?

Kalau tujuan DAP ialah untuk terus berpegang pada sokongan para pengundi tradisinya di kalangan Cina di Pasir Bedamar bagi memenangi pilihanraya kecil kali ini, barangkali benar bahawa pencalonan Dyana satu strategi yang silap.

Kalau tujuan DAP ialah untuk melebarkan asas sokongannya melangkaui kelompok penyokongnya yang teras, untuk menjangkaui semua kaum, bukan hanya bagi Teluk Intan, malah bagi seluruh Malaysia, maka mencalonkan Dyana, dengan segala risiko yang telah diketahui, adalah langkah maju yang perlu diambil.

Bukan setiap hari kita berdepan dengan pilihanraya kecil, justeru itu kita tidak berpeluang untuk memilih kawasan tertentu untuk calon tertentu. Setelah lama merenung dan berbahas, dengan penuh sedar DAP merebut peluang terbuka yang jarang-jarang sekali muncul.

Fenomena Dyana, atau “Dyanamania” meluncur seperti roket, jauh melampaui jangkaan pemimpin parti yang paling optimis sekali pun. Pilihanraya kecil untuk sebuah kawasan pinggir bandar yang agak sepi telah membuatkan seluruh negara berasa teruja. Pencalonan Dyana telah melahirkan banyak peminat dan membuka banyak peluang untuk DAP.

Dalam segala kegirangan, khususnya di media sosial, pasukan kempen tidak pernah menganggap bahawa pertempuran di Teluk Intan pasti akan dimenangi. Sejak hari ke-2 kempen lagi, Lim Kit Siang telah mengumumkan bahawa jika pilihanraya kecil diadakan dalam ruang media sosial, DAP pasti menang besar. Beliau lalu mengingatkan pasukan kempen bahawa “pilihanraya kecil tidak diputuskan oleh warga internet, sebaliknya oleh 60,000 pengundi di Teluk Intan yang sebahagian besarnya bukan warga internet.”

Pasukan ini bekerja tanpa kenal lelah sepanjang 12 hari kempen untuk mengatasi kekurangan sokongan. Sejak hari ketiga kempen lagi kita telah mula menyeru, menerusi iklan dan sebagainya, agar pengundi Teluk Intan yang tinggal di luar kawasan pulang mengundi. Laman Facebook rasmi parti melimpah dengan rayuan memanggil pengundi pulang mengundi. Kami bahkan menyediakan bas dari Lembah Klang, dengan caj tambang RM10, untuk memudahkan pengundi pulang mengundi, memandangkan tiket bas komersial telah habis.

Kempen menyeru pengundi pulang yang DAP lancarkan begitu sengit sehinggakan Presiden Gerakan menyeru para pengundi supaya mengabaikan “orang luar”. Beliau malah menuduh DAP membeli undi dengan mengenakan bayaran kepada pengundi untuk pulang mengundi (memang aneh, ‘membeli undi’ dengan mengenakan bayaran). Beliau buat-buat lupa bahawa pengundi yang menggunakan khidmat bas yang kami sediakan itu perlu membayar tambang, berlainan dengan BN yang selalu membayar pengundi untuk pulang mengundi.

Sepanjang 12 hari kempen, para pemimpin DAP terus-menerus mengingatkan para pengundi, khususnya pengundi tegar DAP di Pasir Bedamar, bahawa masa depan politik Malaysia bergantung pada kemenangan Dyana dan bahawa mereka perlu “berkorban dengan menolak manfaat kementerian” dan janji-janji pembangunan. Dyana tidak mungkin mengatasi Mah dengan bermain politik lampu jalan atau longkang.

Malangnya, langkah-langkah yang dibuat DAP tidak mencukupi. Walaupun kempen PRK mencetuskan semangat dan kegirangan di seluruh negara, tidak cukup banyak pengundi yang pulang. Jumlah keluar mengundi merosot kepada 67%, berbanding 80% pada tahun 2013. Banyak pengundi muda tidak pulang mengundi.

Usaha kita tidak mencukupi untuk meyakinkan pengundi generasi tua bahawa mereka perlu berkorban dengan menafikan “manfaat kementerian” demi lanskap politik baru.

Jika tidak kerana kempen yang digerakkan dengan bersungguh-sungguh, mungkin BN telah menang dengan ribuan perbezaan undi dan bukannya ratusan.

Apakah DAP akan menang jika ia meletakkan calon Cina? Mungkin ya, mungkin tidak. Jika kita meletakkan calon Cina, mungkin undi kaum Cina tidak akan merosot begitu banyak. Tetapi mungkin lebih banyak pula undi Melayu yang kita hilang. Mungkin pilihanraya kecil tidak begitu ‘mengujakan’, justeru itu tidak ramai yang pulang mengundi. Semua ini adalah andaian yang tidak mungkin berkesudahan.

Pertanyaan sama ada calon Cina mampu menang boleh dipertikaikan. Ia boleh dipertikaikan kerana tujuan pilihanraya kecil ini ialah untuk mengubah lanskap politik negara kita. Tujuannya ialah untuk menumpulkan politik perkauman BN. Calon Cina, menang atau kalah, tidak dapat mencapai tujuan itu dan malah hanya akan mengukuhkan tanggapan umum.

Menang atau kalah, pencalonan Dyana memberikan harapan ke arah perubahan. Dia adalah pelaburan untuk masa depan.

Jika golf boleh dipakai sebagai kiasan, kita telah mencapai takat datar dengan hayunan yang dipakai. Untuk membuat terobosan, kita tiada pilihan selain menukar gaya hayunan. Dalam proses penukaran itu, pencapaian kita mungkin merosot. Namun, sebaik saja kita menguasai gaya hayunan yang baru nanti, kita akan lebih bersedia untuk menundukkan lawan.

Sesungguhnya kita telah berusaha untuk menang. Banyak pemimpin tertinggi parti telah berkampung di Teluk Intan kerana mereka yakin dengan jalan yang dipilih. Malang dan memang mengecewakan apabila kita tewas dalam pertempuran kali ini.

Dalam wawancara dengan Malay Mail Online pada 18 Mei, sehari sebelum pencalonan, saya telah menyebut bahawa langkah mencalonkan Dyana adalah “percubaan untuk mengubah rentak permainan dan penuh dengan risiko, tetapi ia wajib diambil untuk mengejar ideal Malaysia untuk bangsa Malaysia. Jika kita kalah dalam pilihanraya kecil ini, ia adalah kekalahan dalam pertempuran yang bakal membawa kepada kemenangan dalam perang.”

Pertempuran Teluk Intan adalah pertempuran antara masa depan yang diwakili oleh Dyana dan masa silam yang diwakili oleh Mah Siew Keong. Jangan sesekali ragu bahawa masa silam memang menguasai pusingan ini, namun pemenang yang abadi adalah masa depan

Tiada ulasan: