Rabu, 4 Jun 2014

Saya tidak sama dengan Tunku Aziz – Dyana Sofya

dyana baby

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Mantan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud hari ini membidas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz yang mendakwa beliau akan meninggalkan parti apabila menyedari bahawa ‘ia tidak berbilang kaum’.

Dyana menegaskan, beliau menyertai DAP kerana memahami serta mengagumi perjuangan pemimpin dan prinsip berbilang budaya parti itu serta pengalamannya sama sekali jauh berbeza Tunku Aziz.

“Saya menghargai kesungguhan DAP yang sentiasa membela semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama. Saya percaya dengan prinsip melakukan sesuatu yang betul tanpa mengambil kira kesan dan risiko.

“Saya menyertai DAP tanpa sebarang niat untuk dilantik ke dalam apa-apa jawatan. Saya hanya mahu bersama orang-orang yang berfikiran terbuka, berkongsi visi dan misi serta mengambil bahagian dalam perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik,” tegasnya dalam kenyataan.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyatakan, beliau sama sekali tidak memandang DAP hanya sebagai sebuah parti politik tapi lebih daripada itu, iaitu sebuah keluarga.

Jelasnya, sebelum menyertai DAP, beliau tidak pernah merasai semangat sebagai rakyat Malaysia berbilang kaum yang menghormati antara satu sama lain

“Saudara-saudari saya dalam DAP telah membuatkan saya sedar bahawa tidak mustahil untuk menjadi rakyat Malaysia sejati tanpa kepura-puraan.

“Ini berbeza dengan slogan ’1Malaysia’ yang kononnya menggalakkan semangat sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak lebih hanya sekadar usaha meneruskan kesinambungan politik perkauman.

Jangan salah, saya bangga menjadi Melayu, namun saya menentang tindakan menyalahgunakannya untuk mengorbankan rakyat lain,” katanya.

Tambahnya lagi, sehingga kini kerjasama beliau bersama rakan-rakan DAP tidak pernah pudar malah kekal dan bertambah erat kerana berkongsi cinta yang sama untuk negara dengan mengenepikan sebarang perbezaan.

“Jika setiap rakyat memberi tumpuan kepada persamaan dan bukannya perbezaan, maka kita semua boleh melihat dunia dengan cara sama yang dilihat kanak-kanak Darjah Satu – buta warna kulit.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan, tetapi ia tidak bermakna seseorang itu perlu meninggalkan keluarga setiap kali perselisihan muncul,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: