Selasa, 3 Jun 2014

PRK Teluk Intan: DAP kaji failkan petisyen keputusan

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Pasukan kempen DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan mengkaji sama ada akan memfailkan petisyen terhadap keputusan PRK itu yang dikatakan bercelaru sebelum membuat sebarang keputusan.

Bekas calon PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud berkata, pasukan yang akan menjalankan kajian terperinci sama ada wujud sebarang unsur penipuan dalam PRK itu akan diketuai Ketua Publisiti DAP, Tony Pua.

image-21-650x400

“Pasukan kempen PRK Teluk Intan yang diketuai Tony Pua akan menyemak perkara ini sebelum membuat keputusan untuk failkan petisyen ataupun tidak. Kajian dibuat membabitkan semua aspek termasuk benarkah wujud kesilapan atau penipuan,” katanya, lapor SelangorKini.

Menurut Dyana, pasukan itu turut mengambil kira kepentingan masyarakat Teluk Intan yang mahu wakil rakyat yang mewakili mereka dipilih secara sah dan adil dalam kajian itu nanti.

Keputusan PRK Teluk Intan yang membabitkan pertandingan dua penjuru antara Dyana dan Datuk Mah Siew Keong daripada Barisan Nasional (BN) baru-baru ini dipertikaikan sesetengah pihak apabila jumlah undian dalam keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikatakan melebihi jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi.

Mengikut statistik yang dikeluarkan SPR, BN memperoleh 20,157 undi; DAP, 19,919 undi; undi rosak, 543 dan kertas undi tidak dimasukkan ke peti undi oleh pengundi adalah 49 yang membawa kepada jumlah keseluruhan 40,668 kertas undi yang dikeluarkan.

Bagaimanapun SPR dikatakan ketika mengumumkan jumlah keseluruhan keluar mengundi termasuk pengundi awal hanya 40,242 yang membuang undi dalam PRK terbabit iaitu kurang 426 undi.

Pada PRK itu 31 Mei lalu, BN merampas kerusi DAP dengan majoriti tipis hanya 238 undi.

Tiada ulasan: