Khamis, 12 Jun 2014

Politik dipenuhi ‘serigala buas’



Oleh Abd Shukur Harun


RAKYAT prihatin, terutamanya di kalangan agamawan, intelektual dan para tokoh masyarakat sivil, kini berasa amat bimbang, malah amat cemas dengan berleluasanya politik tidak bermoral di tanah air.

Gejala ini semakin menggelembung, bernanah dan semakin membesar, membahayakan bukan saja kepada rakyat, tetapi juga kepada pembangunan negara ini sendiri yang akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya ke-57 pada 31 Ogos ini.

Seperti kata Dekan Sejarah Universitas Negeri Yogyakarta, Ahmad Syafii Maarif, politik tidak bermoral sama seperti serigala yang akan saling memakan mangsanya (musuhnya), tanpa belas kasihan, tanpa mengambil kira apa pun, bertindak hanya atas dendam untuk menewaskan musuh politiknya.

Menurutnya, tanpa moral dan integriti pelakunya, politik tidak akan menjadi sarana mewujudkan cita-cita kesejahteraan umum.

Katanya lagi, politik mesti didukung oleh moral dan kemanusiaan, kerana ia adalah inti dan ajaran setiap agama.

Maka tanpa nilai moral ini, dunia politik hanya dipenuhi serigala buas.

Dalam hubungan ini, pada pendapat saya, politik di Malaysia sejak akhir-akhir ini juga tidak kurang unsur ‘serigala’ yang dikatakan oleh dekan tersebut.

Kisah bagaimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim, selama lebih 15 tahun difitnah, dihina, didera berterusan hingga kini sudah diketahui umum. Selain itu tindakan demi tindakan terhadap musuh politik, penipuan dalam pilihan raya dan terbaru ‘sandiwara politik’ adalah antara contohnya.

Juga bagaimana politik perkauman dan fahaman agama yang sempit mengaum dan menyeringaikan taringnya bukan saja menjelang pilihan raya umum lalu, tetapi juga gejala itu berterusan hingga kini, malah lebih menggerunkan lagi.

Hampir-hampir tidak ada satu hari pun yang tiada ada jeritan perkauman dan agama yang sempit yang dipaparkan melalui media tertentu, forum, pelbagai kenyataan dan sebagainya.

Juga bagaimana rasuah dan nepotisme berkembang biak serta pelbagai lagi adalah sebagai gejala yang mencerminkan bagaimana politik tidak bermoral berkembang dengan buasnya. Ia juga menggambarkan merosotnya nilai kemanusiaan.

Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad memberitahu saya dalam pertemuan di rumahnya di Pulau Pinang barubaru ini bahawa beliau melihat gejala politik tidak bermoral sedang berkembang tanpa kawalan.

Politik seperti ini, katanya, sangat kotor, hanyir dan membawa penyakit kepada rakyat dan negara. Ia menyingkirkan sifat manusiawi, hukum agama dan moral.

Menurut Shahnon, politik tanpa moral ini sangat kejam dan rakus. Ia dibina dari konsep ‘tujuan menghalalkan cara’, apa saja boleh dilakukan asalkan mencapai tujuan. Maka pemikiran seperti ini bertentangan sama sekali dengan Islam.

Konsep ini dicetuskan oleh ahli teori politik dari Itali, Nicolo Machiavelli pada zaman pertengahan yang mencipta konsep tersebut Iaitu teori bagaimana hendak mempertahankan kekuasaan seperti yang dihuraikannya dalam bukunya, ‘Il Principle’ (The Prince). Menurut pendapatnya, bahawa politik dan moral adalah dua hal yang tiada kaitan. Yang diutamakan oleh Machiavelli, ialah bahawa pemimpin yang berkuasa mesti berjaya, malah boleh melakukan apa saja kononnya untuk kestabilan negara.

Teori Machiavelli ini sangat bahaya, datang daripada orang yang mengkesampingkan agama, moral, kemanusiaan dan nilainilai murni seluruhnya. Teori ini diguna pakai oleh pemimpin dan pemerintah sekular baik di manamana pun.

Teori ini sangat bertentangan dengan Islam, justeru yang menjadi paksi sesebuah pemerintahn dan politik Islam ialah keadilan dan kesejahteraan manusia walau apa pun bangsa, warna kukit dan agamanya.

Contoh yang menyerlah ditunjukkan ketika pemerintahan Islam di Madinah, seterusnya diikuti di zaman para sahabat, termasuk khalifah muda, Umar Abdul Aziz. Pemerintahannya itu berpaksikan al-Quran dan Sunnah. Ia diaplikasikan dalam semua bidang kehidupan.

Politik Islam berpandukan agama, pemimpin menjalankan pemerintahan berasaskan amanah. Ia memenuhi fungsi Islam sebagai Rahmatan- Lilalamin.

Perihal ini telah dihuraikan oleh Ibnu Khaldun dan Ibnu Tamiyah serta pemikir Islam yang lain zaman berzaman.

Ramai berpendapat bahawa pelaku politik tidak bermoral ini bukan saja datang daripada golongan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, tetapi juga datang daripada pelbagai kalangan, latar belakang sejarah kehidupannya dan keluarganya serta persekitarannya.

Apa yang paling jelas ialah kemahuannya yang sangat besar untuk berkuasa dan dengan itu membina kekayaan demi kekayaan untuk dirinya, saudara maranya dan sahabat handainya dan ini dipanggil kronisme. Saya teringat bagaimana ahli falsafah, Immanuel Kant yang pernah menyindir bahwa ada dua watak haiwan di dalam setiap ‘insan politik’ iaitu watak merpati dan watak ular.

Ahli politik, katanya, kadang-kadang memiliki watak merpati yang lemah lembut dan penuh kemuliaan dalam memperjuangkan idealismenya.

Tetapi di sisi lain kadang-kadang ada juga ahli politik mempunyai watak ular yang licik dan jahat, serta selalu berusaha untuk memangsakan merpati.

Akan tetapi malangnya, kata Kant, bahawa yang sering menonjol dimiliki oleh insan politik adalah ‘watak ular’ berbanding ‘watak merpati’.

Dari sikap itu, katanya, sehingga memunculkan pemikiran bahawa politik itu kotor, tipu muslihat, licik, serta kejam dalam mencapai suatu tujuan. Anggapan ini hingga kini masih dianut oleh sebahagian orang, bahkan majoriti, dan tentunya hal ini mencederakan pengertian politik itu sendiri pada hal menurut ahli falsafah, Aristotle bahawa politik itu sendiri justeru bertujuan mulia.

Bagaimanapun di Nusantara ini, ada tokoh politik dan intelektual yang bermoral tinggi, iaitu BJ Habibie, Presiden Indonesia yang ketiga, yang memegang jawatan itu begitu singkat, dari 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Beliau meletakkan jawatannya sebagai Presiden Indonesia kerana ucapan penanggungjawabannya ditolak oleh Sidang Parlimen.

Selepas itu di suatu majlis di Jakarta, beliau diundang hadir di majlis itu. Beliau bersalaman dengan beberapa ahli Parlimen yang menentang ucapannya dulu.

Tetapi Habibie masih berupaya tersenyum dan ramah dengan lawan politiknya itu. Dialah tokoh yang dianggap sebagai pemimpin berprinsip dan bermoral tinggi dan dialah yang menyuburkan demokrasi di Indoneia yang dimulai dari era pemerintahannya.

Tiada ulasan: