Selasa, 17 Jun 2014

Peguam: Penduduk mohon injunksi baru

MALAYSIAKINI



 
 
 
Penduduk Kampung Chubadak Tambahan akan memohon satu lagi injunksi bagi menghalang operasi perobohan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, permohonan baru perlu dibuat memandangkan tempoh injunksi yang diperolehi sebelum ini akan berakhir pada 26 Jun.

“Kita akan mohon injuksi disambungkan sehingga selesai tindakan saman penduduk didengar dan diputuskan di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau membidas pendirian tegas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap akan melakukan kerja perobohan di kawasan kampung itu.

Minggu lalu, DBKL merobohkan dua buah rumah penduduk sementara enam lagi rumah yang sudah dikenalpasti, gagal dirobohkan kerana bantahan keras penduduk setempat, manakala 58 lagi kes penduduk sedang melalui rayuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zamri menggesa datuk bandar menunjukkan sikap kemanusiaan dengan tidak terburu-buru merobohkan rumah penduduk Melayu sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

“Kita bercakap soal kemanusiaan, takkan datuk bandar sanggup menindas orang Melayu sendiri. Tunggulah sehingga prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi, kenapa nak terburu-buru?

“Mereka terutamanya orang-orang tua nak puasa, nak raya. Sekarang ini mereka tidak mahu tinggal di PPRT, mereka tinggal di bangsal rumah mereka yang dirobohkan,” katanya.
 

Tiada ulasan: