Jenazah Ahmad Shukri dan pasangannya yang sentiasa duduk berdua termasuk bekerja di satu syarikat sama akan kekal berdua kerana dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan Islam di Rawai, Marang. Jenazah Ahmad Shukri dan pasangannya yang sentiasa duduk berdua termasuk bekerja di satu syarikat sama akan kekal berdua kerana dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan Islam di Rawai, Marang.



KEMAMAN - Dua beradik bergelar yatim piatu sekelip mata selepas terlibat dalam nahas tragis membabitkan dua mangsa maut dan tiga parah dekat Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal, di sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 7.50 pagi di Kilometer 140 Jalan Pintasan Kuala Terengganu - Kuantan itu berlaku ketika dua beradik lelaki berkenaan, Aniq Shafarah Ahmad Shukri, 5, dan Aqil Shauki, 3, bersama ibu bapanya dalam perjalanan ke pusat asuhan dan tempat kerja di Chukai dari rumah mereka di Kijal.

Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Satria yang dinaiki mereka sekeluarga bertembung dengan sebuah Honda Accord.

Akibatnya kedua-dua ibu bapa mereka, Ahmad Shukri Abd Wahab, 34, dan Nor Asmalia Wahab, 34, yang bekerja di kilang pengeluar peralatan untuk industri minyak dan gas, Alfa Meli Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Jakar III,
Chukai maut serta merta dalam kereta yang remuk.

Kedua-dua beradik itu bersama pemandu (lelaki Inggeris) Honda Accord yang juga seorang pegawai kanan di sebuah syarikat di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) berusia 30-an yang cedera teruk dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan.

Nahas itu dipercayai berlaku apabila kereta Honda Accord dari arah Chukai menuju Teluk Kalong terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh  kereta dinaiki empat beranak itu mengakibatkan pemandu Honda
Accord itu turut tersepit dan dikeluarkan orang awam.

Hasil pemeriksaan polis di tempat kejadian mendapati tayar belakang Honda Accord itu pecah.

Balik kampung setiap minggu

Sementara itu, ibu Nor Asmalia, Fatimah Mohd Taib, 62, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan anak keduanya itu kelmarin (Sabtu) semasa anaknya sekeluarga pulang membantu menguruskan majlis kenduri kahwin
seorang lagi anaknya di rumahnya di Kampung Banggol Mempelam, Serada, Kuala Terengganu.

“Arwah anak dan menantu berada di samping kami selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu. Mereka berdua nampak ceria dan tak tunjuk apa-apa perubahan sikap.

“Cuma semasa salah seorang adiknya tanya sama ada minggu depan arwah balik kampung ke tak, arwah cakap ‘minggu depan tak balik dah’,” katanya sebak.

Menurut ibu lapan anak ini, anaknya yang berperwatakan ceria itu hampir setiap minggu pulang ke kampung menghabiskan cuti hujung minggu jika mereka suami isteri tidak bekerja pada Sabtu.

Tak lepas potong kenderaan hadapan

Sementara itu abang sulung Nor Asmalia, Wahyudin Wahab, 36, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Paka, Dungun, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan memaklumkan nahas yang menimpa adiknya sekeluarga.

“Menurut saksi tempat kejadian, Honda Accord cuba memotong kereta di hadapannya tapi tak lepas menyebabkan kereta itu bertembung dengan kereta dinaiki adik saya,” katanya.

Bagaimanapun, punca kemalangan itu masih lagi dalam siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dikebumi satu liang lahad

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan mengenai kes itu.

Jenazah suami isteri itu dituntut ahli keluarga kira-kira jam 1.15 tengah hari dan dikebumikan dalam satu liang lahad di kampung halaman Ahmad Shukri di Rawai, Marang selepas solat Isyak.

Kedua-dua anak pasangan itu yang cedera di bahagian kepala dan patah kaki dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang kira-kira jam 11 pagi.