Isnin, 30 Jun 2014

Menteri seharusnya positif dengan teguran Wardina


Oleh Shahbudin Husin  




Kisah seorang remaja lelaki OKU, Muhammad Firdaus Dullah yang terbiar dalam keadaan daif dan menyedihkan dengan ditinggalkan bersendirian di sebuah flat ketika ibunya bekerja, mengundang simpati yang bukan sedikit daripada seluruh masyarakat. 

Banyak pihak meluahkan simpati, menghulurkan bantuan serta mengecam ibunya yang tergamak berbuat demikian keatas darah dagingnya sendiri yang ditakdirkan dilahirkan sedemikian rupa.

Ibunya, Lolanopita Saidi, kini sudah pun didakwa di mahkamah atas kesalahan mengabaikan dan meninggalkan anaknya tanpa pengawasan.

Sementara banyak pihak memberikan pandangan dan ulasan mengenai malang yang menimpa Muhammad Firdaus, reaksi yang paling mendapat perhatian ialah daripada Wardina Safiya, seorang selebriti wanita yang kini dilantik menganggotai Majlis Konsultansi Perpaduan Negara atau MPKN yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memberi pandangan mengenai isu-isu perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Dalam komennya di laman Instagram mengenai Muhammad Firdaus, Wardina menulis, "ini berlaku salah satunya berpunca kerana ibu bapa remaja OKU itu tidak diberikan bantuan. Saya di sini mahu membandingkan bagaimana kita masyarakat orang Islam melayan anak-anak istimewa ini dengan negara yang kononnya kafir.

"Di Australia, ibu bapa kepada anak OKU akan diberi pelbagai keistimewaan seperti elaun bulanan yang tinggi. Malah kawan saya yang mempunyai anak OKU kedua-dua suami dan isteri tidak perlu bekerja kerana disuruh kerajaan untuk fokus menjaga anak OKU itu.

"Anak-anak OKU dihantar ke terapi secara percuma, dihantar ke sekolah berkualiti dengan percuma dan ibu bapa pula diberi cuti percuma setiap tahun kerana kerajaan faham betapa tertekannya untuk menjaga anak-anak istimewa ini.

"Ya, itu negara kafir. Anak-anak OKU dan istimewa kita bagaimana pula? Di mana nilai kita? Terpaksa ibu bapa memikul beban tanpa pertolongan dan sistem sokongan yang padu daripada mereka yang sepatutnya. Saya cuma berkongsi realiti, terimalah."

Itulah komen dan reaksi Wardina yang kemudian membuatkan banyak orang tidak senang, menilainya tidak realistik dan cuba menunjuk pandai. Malah Menteri Pembanginan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim juga turut kecewa dengan kenyataan Wardina itu.

Kata menteri berkenaan, kenyataan Wardin itu tidak berasas sama sekali kerana pihaknya sangat mementingkan kebajikan golongan berkenaan dengan menyediakan pelbagai jenis bantuan.

"Lihatlah selepas empat hari penemuan remaja itu, dia telah dibantu dan dibela kerana pihak kami sangat mementingkan kebajikan OKU," katanya selepas melawat Muhammad Firdaus di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Amat malangnya sebenarnya kerana seorang menteri sendiri tidak faham apa yang dibangkitkan oleh Wardina. Wardina bercakap mengenai dasar yang menyeluruh yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak OKU sepertimana yang dilaksanakan di Australia, malangnya Datuk Seri Rohani pula membanggakan tentang bantuan yang diberikan setelah nasib Muhammad Firdaus didedahkan dan menjadi perhatian.

Apa akan jadi jika kes Muhammad Firdaus tidak didedahkan? Adakah bantuan kerajaan akan menjelma? Adakah menteri akan melakukan lawatan?

Nampaknya Datuk Seri Rohani bukan saja jahil dan naif, tetapi juga tidak faham peranannya sebagai seorang menteri. Beliau terlihat hanya mementingkan faktor memberi respon, menghulur bantuan dan melakukan lawatan setelah sesuatu itu didedahkan dan bukannya sebelum itu lagi sedangkan itulah yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Sebenarnya, sudah sampai masanya kerajaan melalui Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat merangka akta yang lebih khusus untuk membantu ibu bapa yang mempunyai anak OKU. Akta itu mungkin tidak sepenuhnya meniru seperti Australia tetapi apa salahnya mencontohi amalan baik oleh masyarakat kafir atau bukan Islam itu.

Tidak ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU ini, jumlahnya mungkin tidak sampai pun satu peratus daripada keseluruhan mereka yang berkeluarga. Apa salahnya digunakan sebahagian wang cukai untuk memberikan bantuan dan sara hidup kepada ibu bapa yang mempunyai anak OKU ini sebagai tanda prihatin kerajaan keatas nasib dan takdir yang menimpa mereka.

Rasanya jika akta ini segera digubal, bukannya seperti sekarang yang bantuan dan pertolongan hanya mencurah-curah setelah sesuatu kes menjadi perhatian media, semua rakyat akan gembira dengan kerajaan.

Oleh itu, daripada Datuk Seri Rohani meluahkan kekecewaan dengan kenyataan Wardina, beliau sepatutnya lebih kecewa dengan kementerian yang diterajuinya kerana selama ini tidak mempunyai dasar khusus untuk membantu dan melindungi anak-anak OKU dan istimewa ini. Terimalah tegurah Wardina itu dengan positif dan untuk kebaikan jangka panjang.

Melakukan lawatan dan mencurahkan bantuan setelah sesuatu nasib malang menimpa OKU itu didedahkan oleh media dan menjadi perhatian ramai sebagaimana yang berlaku kepada Muhamad Firdaus, lebih memperlihatkan kegagalan kerajaan yang sudah memerintah lebih 50 tahun ini. Tidak guna mengaku Malaysia ini bukan negara sekular, tapi nasib OKU pun tak dibela.

Tiada ulasan: