Sabtu, 21 Jun 2014

Lelaki maut ditembak ketika tunggang motosikal

BERNAMA 


ALOR SETAR: Seorang lelaki maut setelah ditembak ketika sedang menunggang motosikal di Taman Songket, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani malam tadi.
  
Dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, M. Gurubaran, 24, dari Taman Keladi, Sungai Petani maut di tempat kejadian selepas dipercayai terkena tiga das tembakan yang dilepaskan dua lelaki.
  
Mangsa dikatakan diekori empat lelaki yang menunggang dua motosikal sebelum beberapa tembakan dilepaskan ke arahnya sebaik mangsa memasuki kawasan perumahan tersebut.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata kesan tembakan tersebut menyebabkan mangsa jatuh bersama motosikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
  
"Tembakan itu menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikal dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan. Dua suspek itu pula melarikan diri sebaik melepaskan tembakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
  
Katanya siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tembakan di badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan membunuh.
  
"Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes ini dan pihak polis sedang berusaha untuk mengesan mereka. Motif pembunuhan juga masih dalam siasatan," katanya.
  
Mohd Nashir berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk bedah siasat.

Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan parah akibat tembakan di bahagian kepala dan dada. - Bernama

Tiada ulasan: