Isnin, 23 Jun 2014

Label “betina” suntik semangat PAS Johor

LAN JUSOH 


TUMPAT: Tohmahan Umno mengatakan PAS menang dengan cara “betina” pada pilihan raya umum (PRU) 2004 di Dun Senggarang menyuntik semangat aktivis dan pendokong PAS di Johor meningkatkan lagi perjuangan.

Pada pilihan raya tersebut Dr Mohd Ramli Md Kari menang tanpa bertanding di Dun Senggarang, mencatat sejarah kemenangan sulung PAS di Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor Aminolhuda Hassan berkata, tohmahan itu dilempar Umno ekoran kemenangan sulung PAS di negeri kelahiran Umno.

Malah katanya, pemimpin Umno Johor sebelum itu dengan angkuh memberitahu tunggu keli bersisik dahulu untuk membolehkan PAS menang di Johor.

“Biar pun dilemparkan pelbagai tohmahan dan penghinaan namun pejuang dan pendokong PAS di Johor tidak mudah patah semangat.

“Malah hasil gerak kerja dan kesungguhan secara berterusan menyebabkan PAS menang berganda pada pilihan raya umum 2008.

“Dan pada pilihan raya umum lepas sekali lagi PAS mencatat kemenangan berganda berbanding PRU 2008,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS Tumpat di Pantai Sri Tujuh semalam.

Hadir sama Yang Dipertua (YDP) PAS Tumpat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Timbalan YDP, Mohd Zaki Ibrahim dan Naib YDP, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Pada PRU 2008 PAS menang di Dun Maharani melalui Dr Mohd Taslim dan Dun Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh.

Dan pada PRU 2013 kerusi PAS bertambah kepada empat iaitu Aminolhuda di Dun Parit Yaani apabila menang dengan majoriti 1,188 undi mengalahkan Teo Yew Chuan (BN).

Selain itu di Dun Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim mengalahkan Datuk Haris Salleh (BN) dengan majoriti 3,813 undi.

PAS juga menang di Dun Maharani melalui Dr Mohd Taslim mengatasi Datuk Zulkhairi Ahmad (BN) majoriti 3,136 undi.

PAS juga menang di Dun Puteri Wangsa melalui Ustaz Abdullah Husin apabila menewaskan Soorianarayanan A/L Muniandy (BN) dan calon Bebas, Ravindaran A/L Doraisamy (Bebas) dengan majoriti 3,469 undi.

“Pada PRU 2008 masih ada calon PAS yang hilang wang deposit, biar pun begitu kita tetap istiqamah dalam perjuangan walau pun kalah dalam pilihan raya.

“Dan hasil perjuangan tanpa mengira penat dan lelah pada PRU 13 tidak ada lagi calon PAS yang hilang deposit.

“Sebaliknya apa yang berlaku sekarang BN pula bimbang hendak bertanding terbaru berlaku pada pilihan raya kecil Bukit Gelugor, Pulau Pinang apabila BN tidak meletakkan calon,” kata Adun Parit Yaani itu.

Tiada ulasan: