Jumaat, 13 Jun 2014

Kongsi gelap dalang kekecohan pemilihan PKR

JPP mengesahkan kekecohan di beberapa cabang didalangi oleh anggota kongsi gelap yang mensasarkan peti undi.


johari abdul1PETALING JAYA: Kongsi gelap merupakan dalang di sebalik kekecohan berlaku di dua cabang dalam pemilihan PKR, menurut Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) itu.

Dalam satu sidang media hari ini, pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul turut menafikan bahawa kumpulan yang memulakan kekecohan ini merupakan ahli parti.

“Pensabotaj terdiri daripada anggota kongsi gelap. Kami boleh sahkan perkara ini berlaku sewaktu proses pengundian di Cabang Kota Raja dan Kuala Langat,” katanya, sambil menambah ia turut berlaku di beberapa cabang lain.

Jelas Johari, perkara ini dibuktikan melalui rakaman video dan gambar yang diterima dari ahli parti.

“Kehadiran ahli kongsi gelap ini seperti dirancang dan seperti ada paten di mana mereka menyerbu masuk ke dalam pusat pengundian selepas jam 2.30 petang dan juga hanya mensasarkan tong-tong peti undi,” tambahnya lagi.

Johari bagaimanapun gagal menjelaskan kumpulan kongsi gelap mana yang memulakan kekecohan ini.

“Saya harap saya tau. Tapi ianya macam terancang maknanya sama ada orang yang kalah atau calon yang rasakan dirinya hendak kalah atau pun memang ada satu kumpulan yang terlatih untuk menendang peti undi,” katanya lagi.

JPP bagaimanapun belum membuat sebarang laporan polis berhubung insiden ini.

“Secara rasminya saya tak buat laporan polis sebab kita rasa ini proses dalaman antara keluarga dan kita ada cukup mekanisma untuk ambil tindakan,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Bantahan Abd Malek Hussein berkata 284 aduan rasmi telah diterima pihaknya berhubung pemilihan parti.

“Jumlah aduan dan bantahan diterima daripada 70 cabang seluruh negara. Ada cabang yang ada satu aduan ada yang ada lebih 10 aduan,” katanya yang menambah pihaknya turut mengalukan aduan dari ahli melalui e-mel dan surat.

“Kita adakan pendengaran kira ala-ala Suruhanjaya Siasatan Diraja di mana kita beri proses dengan panggil pengadu untuk beri keterangan dan orang yang diadu ada hak untuk pertahankan dirinya dan berikan hujahan balas,” jelasnya.

Pemilihan PKR yang bermula 25 April lalu sepatutnya berakhir pada 11 Mei namun pengundian di 35 dari keseluruhan 198 cabang seluruh negara telah diabatalkan dan akan diadakan pemilhan semula.

Seramai 496,923 dari sejumlah 500,001 ahli parti layak mengundi dalam pemilihan kali ini.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: