Ke mana hala tuju SBI?


KLANG - Tawaran yang dibuat kerajaan negeri berhubung pemindahan pelajar SBI ke Maahad Tahfiz Sains Klang atau nama penuhnya Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Klang, masih kabur.

Pengetua maahad tahfiz berkenaan, Rosli Ahmad berkata, pihaknya sehingga kini masih belum mendapat sebarang kenyataan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kemasukan pelajar SBI ke sekolah itu.

Beliau turut membangkitkan isu sukatan pelajaran maahad tahfiz yang amat berbeza jika dibandingkan dengan SBI.

“Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku (kemasukan), pastinya akan menimbulkan kesukaran kepada pelajar SBI sebab sukatan pelajaran berbeza berbanding sekolah asal mereka.

“Di sini kami lebih menerapkan sukatan tahfiz kepada pelajar sebagai persediaan sekiranya mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah kelak,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Rosli, beliau tidak dapat memberi sebarang komen lanjut berhubung perpindahan atau pertukaran SBI kerana pihaknya tidak menerima makluman rasmi berhubung perkara tersebut.

“Saya mendapat tahu mengenai perkara ini hanya melalui akhbar dan saya anggap ini adalah perkara yang tidak diduga,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kemudahan di maahad berkenaan, Rosli berkata, terdapat empat bangunan iaitu asrama pelajar, sekolah rendah agama, makmal bahasa Arab dan pusat sumber pendidikan,

Maahad itu mempunyai 296 pelajar iaitu seramai 145 pelajar perempuan manakala 152lagi adalah pelajar lelaki.

Menurutnya, pihak maahad terpaksa menumpang dua buah kelas di sekolah agama rakyat bersebelahan disebabkan bangunan sedia ada tidak cukup untuk menampung bilangan pelajar yang ramai.

Bagaimanapun katanya, beliau difahamkan bahawa maahad berkenaan mungkin akan berpindah ke lokasi baru di Alam Impian tahun ini.