MALAYSIAKINI
Malaysia mempamerkan aksi longlai apabila kalah 6-2 kepada Afrika
Selatan pada penentuan tempat ke-11 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014
di Stadium Kyocera, The Hague, Belanda, semalam.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj
Abdullah menduduki tempat terakhir daripada 12 pasukan yang merupakan
kedudukan terburuk sepanjang enam penyertaan mereka pada Piala Dunia
sebelum ini.
Lebih mendukacitakan, Malaysia menduduki tangga tercorot kumpulan A
tanpa mengutip sebarang mata selepas kalah kesemua lima perlawanan.
Mereka kalah 4-0 kepada juara bertahan, Australia pada aksi pembukaan 31
Mei lepas sebelum tunduk 6-2 kepada Belgium, dua hari kemudian.
Ini disusuli dengan kekalahan 2-0 kepada England pada 5 Jun, 3-2 kepada
India (7 Jun) sebelum diaibkan 5-2 kepada Sepanyol, dua hari kemudian.
Dalam pertemuan dengan Afrika Selatan itu, skuad negara bermula
cemerlang selepas Muhammad Firhan Ashaari menjaringkan gol pembukaan
menerusi percubaan solo pada minit ke-26 dan ia kekal sehingga separuh
masa pertama.
Ketiadaan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor di atas padang kira-kira
lima minit pada awal babak kedua akibat layangan kad kuning oleh
pengadil perlawanan, pantas dimanfaatkan oleh pasukan Afrika Selatan
bermula dengan jaringan penalti strok oleh Justin Reid-Ross pada minit
ke-43.
Justin terus mengorak langkah dengan menambah dua lagi jaringan pukulan
sudut penalti masing-masing pada minit ke-45 dan 48 sebelum Lloyd
Norris-Jones meledak gol keempat, selang dua minit menerusi jaringan
padang.
Kapten pasukan Afrika Selatan, Austin Smith menjaringkan gol kelima
untuk pasukan ranking ke-12 dunia itu menerusi pukulan sudut penalti
pada minit ke-63, sebelum Jean-Pierre de Voux memastikan kemenangan
bergaya dengan gol keenam, lima minit kemudian.
Malaysia berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi bekas kapten, Mohd
Shahrun Nabil Abdullah hasil percubaan solo, seminit kemudian namun ia
gagal menghalang pasukan lawan daripada meraih kemenangan pertama pada
kejohanan edisi ke-13 itu.
Untuk rekod, Afrika Selatan menduduki tangga tercorot kumpulan B dengan
kutipan satu mata selepas sekadar mencatat satu seri selain ditimpa
empat kekalahan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan