Jumaat, 20 Jun 2014

Geopolitik dunia membelenggu pencarian MH370




Oleh Azmi Hassan





 Sudah lebih 100 hari misteri kehilangan pesawat penerbangan MH370 masih belum terungkai dan senario sebegini mengundang pelbagai teori dan andaian mengenai nasib yang menimpa penerbangan malang tersebut.

Ketandusan maklumat mengenai pergerakan pesawat membuahkan pelbagai bentuk usaha bermula daripada kaedah yang berlandaskan fakta dan ada juga yang menjerumus kepada mistik.

Penerbangan MH370 bukan sahaja dikatakan sebagai kehilangan pesawat yang penuh misteri tetapi dibelenggu oleh faktor geopolitik dunia. Setiap tindakan yang diambil akan memberi kesan kepada suasana geopolitik masa depan dan sebab itu tiga negara utama yang terlibat iaitu Malaysia, China dan Australia begitu berhati-hati dalam setiap tindak tanduk mereka.

Geopolitik MH370 boleh ditafsirkan secara mudah sebagai setiap tindakan yang diambil bukan saja akan memberi kesan kepada proses merungkai misteri tetapi bakal memberi kesan kepada suasana politik global.

Paling terkini geopolitik MH370 adalah kempen Ganjaran MH370 yang bertujuan mengumpul dana sebanyak AS$5 juta. Dana tersebut akan digunakan sebagai ganjaran kepada sesiapa sahaja yang mampu memberi maklumat kehilangan pesawat tersebut. Secara asasnya kempen itu mempunyai niat yang murni tetapi jika diteliti arah tujunya, ia boleh menimbulkan kerumitan yang sepatutnya boleh dihindarkan.

Ini adalah kerana Ganjaran MH370 lebih menjerumus kepada kepercayaan wujud konspirasi di mana ada maklumat yang sengaja disembunyikan pihak tertentu. Pihak penganjur berpendapat ganjaran kewangan yang disediakan itu mampu menarik perhatian pemberi maklumat untuk membocorkan rahsia.

Ganjaran MH370 sebenarnya menguatkan pelbagai teori konspirasi yang menjerumus kepada andaian pesawat tersebut hilang kerana tindakan yang dilakukan secara sengaja. Keluarga penumpang dari Amerika Syarikat, New Zealand, Perancis dan India dikatakan terlibat secara langsung dalam kempen tersebut. Sementara waris penumpang paling ramai iaitu dari China dan Malaysia tidak terlibat.

Jika digabungkan niat tersirat kempen tersebut dengan komposisi waris penumpang yang terlibat ia merupakan peledak yang mampu memberi kesan secara langsung, bukan saja kepada pencarian MH370 tetapi juga geopolitik dunia.

Tetapi misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 yang bermula di Laut China Selatan dan kemudiannya berpindah ke Lautan Hindi adalah manifestasi paling jelas bagaimana geopolitik global mewarnai misi tersebut.

Permulaan misi SAR di Laut China Selatan dilakukan secara separa koordinasi iaitu negara yang terlibat pada ketika itu seperti Malaysia, Vietnam dan China hanya melaksanakan pencarian dalam perairan masing-masing sahaja.

Senario sebegini timbul kerana faktor geopolitik Laut China Selatan yang begitu sensitif di mana ketiga-tiga negara ini terlibat secara langsung dalam tuntutan bertindih sempadan maritim yang melibatkan gugusan Kepulauan Spratly dan Paracel.

Malah pada satu ketika terdapat 26 negara terlibat secara langsung dalam misi SAR di Laut China Selatan yang mana faktor geopolitik kawasan tersebut diandaikan menjadi tarikan utama.

Aset utama misi SAR adalah kelengkapan ketenteraan seperti pesawat peninjau dan kapal perang. Kehadiran aset seperti ini yang dipunyai oleh negara kuasa besar seperti AS, China, Australia dan India di kawasan yang begitu sensitif sudah pasti mempunyai kesan jangka panjang terhadap geopolitik rantau tersebut. Hal ini kerana negara terlibat mahu mempamerkan kekuatan aset mereka kepada pesaing masing-masing.

Jika geopolitik MH370 membuka peluang kuasa besar menyerlahkan kemampuan aset ketenteraan masing-masing, terdapat juga beberapa ketika di mana kemampuan aset ketenteraan sengaja disembunyikan.

Paling ketara adalah data radar pertahanan beberapa negara seperti India, Thailand, Indonesia dan Australia yang dapat membantu menjejak penerbangan MH370 langsung tidak dihebahkan oleh negara terlibat. Ini kerana data radar pertahanan begitu sensitif kerana ia memberi ruang untuk mentafsirkan kemampuan sebenar radar tersebut.

Bukan saja data radar pertahanan dikekang penggunaannya, data daripada satelit pertahanan beberapa negara yang mempunyai kemampuan juga begitu terhad digunakan. Memang benar terdapat beberapa imej satelit digunakan dan dihebahkan kepada umum seperti maklumat daripada satelit AS, Perancis dan juga Thailand tetapi semuanya adalah satelit komersial yang mempunyai kemampuan optik agak terhad.

Apa yang dipersoalkan adalah data satelit yang mempunyai kemampuan optik lebih jitu terutama sekali satelit pengintipan yang dimiliki AS, Australia dan China langsung tidak digunakan dalam misi SAR MH370. Ini kerana seperti mana data radar pertahanan, hebahan data satelit pertahanan akan memberi peluang kepada pihak yang berminat membuat penilaian kemampuan sebenar satelit tersebut.

Penggunaan aset pertahanan seperti kapal peninjau P3 Orion milik Australia, P8A Poseidon kepunyaan AS dan Ilyushin dari China mempamerkan senario geopolitik terbaik di mana perasaan syak wasangka mampu dihindarkan buat seketika demi kepentingan waris penumpang MH370.

Tetapi sifat geopolitik yang agak keterlaluan memaksa penggunaan data radar pertahanan dan satelit digunakan secara kekangan terpilih demi menjaga kepentingan geopolitik masing-masing. Begitu ironis sekali apabila data radar pertahanan Malaysia digunakan sepenuhnya, masih terdapat tuduhan sinis yang mengatakan kerajaan menyembunyikan maklumat tertentu.

Tidak kurang menarik geopolitik MH370 apabila kerajaan Britain menyatakan akan menggunakan kapal selam berkuasa nuklear HMS Tireless dalam misi SAR di Lautan Hindi. Menarik kerana lokasi kapal selam lazimnya dirahsiakan dan kemampuan SAR kapal selam walaupun di dasar laut adalah begitu terhad. Sehingga hari ini tidak dapat dipastikan sama ada HMS Tireless sudah berada dalam kawasan operasi SAR di Lautan Hindi.

* Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Tiada ulasan: