Selasa, 3 Jun 2014

Enakmen jenayah syariah bendung Syiah dikuatkuasa di Kedah

FREE MALAYSIA TODAY

Semua ajaran lain yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah akan turut dibendung menggunakan enakmen
Buku Syiah 00@

 PETALING JAYA: Kerajaan negeri Kedah telah pun mewartakan enakmen jenayah syariah untuk membendung penyebaran mazhab Syiah.

Kerajaan turut menguatkuasakan Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014 dengan serta merta.

“Dalam Enakmen Jenayah Syariah Kedah 2014, ada seksyen 9 dan 11 iaitu sekiranya mana – mana orang berdakwah dan menyebarkan ajaran yang menyalahi fatwa bukan sahaja Syiah bahkan mana-mana ajaran yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam iaitu fahaan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dikenakan tindakan.

“Bila-bila masa sahaja apabila dapat aduan bukan sahaja di Pendang tetapi di mana-mana kawasan di Kedah kita akan ambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan agama Islam,” kata Exco Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Beliau dipetik berkata demikian semalam oleh Utusan Malaysia ketika menghadiri majlis menandatangani perjanjian kumpulan HBR dengan Bank Rakyat di Alor Setar, Kedah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan ajaran Syiah sebagai salah satu ancaman terhadap keselamatan negara semasa perhimpunan agung Umno pada tahun lepas.

Pengumuman tersebut dibuat meskipun Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi telah menandatangani dua perjanjian antarabangsa yang mengiktiraf ajaran Syiah.

Tiada ulasan: