nyamuk


KUALA LUMPUR - Tiga lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan minggu lepas menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia meningkat kepada 72 orang sejak Januari lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kematian termasuk seorang kanak-kanak berumur dua tahun dilaporkan di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kejadian denggi menunjukkan tren peningkatkan semula selama lima minggu berturut-turut bermula pada minggu ke-18.

"Pada minggu ke-22, (25 hingga 31 Mei), sejumlah 1,755 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding 1,614 kes yang dilaporkan pada minggu ke-21," katanya.

Dari bulan Januari sehingga 31 Mei ini, beliau berkata 36,825 kes denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 254 peratus berbanding hanya 10,401 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 408 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh negara membabitkan 14 negeri, meningkat sebanyak 7.4 peratus berbanding 380 lokaliti wabak pada minggu sebelumnya.

"Terdapat 59 lokaliti titik panas dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 53 lokaliti di Selangor, tiga di Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kelantan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang," katanya.

Sempena musim cuti persekolahan ini, beliau turut menyeru orang ramai supaya memastikan persekitaran rumah masing-masing bebas daripada tempat pembiakan aedes sebelum pergi bercuti atau meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang.

"Masukkan juga bahan pembunuh jentik-jentik (Temephos) ke dalam bekas simpanan air yang kekal antaranya seperti bekas simpanan air, kolah air dan pasu bunga yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan aedes," katanya. - Bernama