Jumaat, 20 Jun 2014

DAP Sabah persoal ketelusan Musa Aman laksana projek mega di Tanjung Aru

junz wong
Roketkini.com


Kota Kinabalu,: DAP Sabah membidas tindakan terburu-buru Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman melancarkan projek pemulihan Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) tanpa mengadakan perbincangan awam terlebih dahulu.

ADUN Likas Junz Wong berkata, tindakan itu jelas tidak mematuhi undang-undang yang telah diperuntukkan di bawah Ordinan Perancangan Bandar dan Desa (Sabah CAP 141).

“Jika Musa mempunyai sikap prihatin, beliau sepatutnya mendengar aduan orang ramai dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Bagaimana pula TAED mendakwa mereka mempunyai kelayakan Pelan Pembangunan sedangkan laporan EIA (Environmental Impact Accessment) masih belum lengkap?,” soalnya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada 2 Jun lalu, mengikut laporan Bernama, Musa Aman telah menyatakan projek pemulihan TAED bernilai RM1.5 bilion telah dimuktamadkan dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAEDSB).

Musa yang juga pengerusi TAEDSB mendakwa, ia akan merangsang pertumbuhan pelaburan, menangani masalah hakisan dan pencemaran yang telah merosakkan pantai Tanjung Aru serta Prince Philip Park.

Namun, projek pembangunan itu mendapat tentangan hebat dari orang ramai dan penduduk sekitar kerana khuatir kehilangan akses ke pantai berikutan kewujudan hotel-hotel besar dan resort-resort.

NGO Selamatkan Pantai Tanjung Aru juga telah ditubuhkan dan sedang berusaha mengumpul sebanyak mungkin tandatangan orang ramai sebagai gesaan supaya kerajaan negeri menarik semula projek tersebut.

Pada masa sama, Junz turut mencabar Pengarah Eksekutif TAED Datuk Victor Paul membuktikan kebenaran bahawa 60 hingga 70 meter pantai Tanjung Aru telah lenyap.

“Jika 60 hingga 70 meter pantai telah hilang, sudah tentu tembok laut di bahagian pertama dan kedua pantai sudah tidak ada.

“Jadi, Victor perlu mengemukakan bukti atau menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada orang ramai,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: