Ahad, 8 Jun 2014

BN, Pakatan harus bersatu halang usaha jadikan Malaysia monarki mutlak


Oleh Amin Iskandar


Negara dikejutkan apabila media melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri apabila satu rang undang-undang baru, Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.

Lebih mengejutkan lagi apabila akhbar milik Umno, Utusan Malaysia mendapatkan pandangan Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari yang juga merupakan calon PKR untuk kerusi Parlimen Sabak Bernam dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu berhubung tindakan kerajaan negeri Johor itu.

Ini merupakan perkara yang jarang berlaku kerana Utusan Malaysia sendiri pernah menyerang Aziz sehingga menyebabkan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menyaman akhbar tersebut kerana didakwa memfitnahnya.

Dalam laporan itu, Aziz berkata pemberian kuasa kepada sultan untuk terlibat dalam pentadbiran negeri bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Utusan Malaysia juga menyiarkan laporan yang menentang tindakan kerajaan Johor untuk memberikan kuasa kepada Sultan Ibrahim untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri.

Laporan Utusan Malaysia ini jelas menunjukkan Umno tidak bersetuju dengan tindakan Umno Johor untuk memberikan kuasa kepada Sultan dalam pentadbiran negeri yang berjiran dengan Singapura itu.

Tindakan Umno Johor untuk memberikan kuasa kepada Sultan Ibrahim (gambar) untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri memberikan isyarat bahawa Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti itu terlalu lemah sehingga berlaku tindakan membelakangkannya dalam urusan yang penting seperti ini.

Sebagai perdana menteri, Najib juga dilihat gagal untuk menunjukkan bahawa Putrajaya kuat dan perlu dirujuk sebelum negeri-negeri, apatah lagi yang diperintah oleh partinya sebelum membuat sesuatu keputusan penting.

Atau atas kelemahannya, Najib sendiri perlukan campur tangan Istana untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang?

Tindakan Najib membiarkan Umno Johor juga bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu semasa pemerintahannya.

Pada tahun 1983 dan 1991, Dr Mahathir yang merupakan presiden Umno melakukan pindaan Perlembangaan bagi membuang kuasa veto Raja dan imuniti mereka daripada dihukum.

Sebelum pindaan ini, setiap bil yang akan menjadi undang-undang dikehendaki mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Dengan pindaan tersebut, bil yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang selepas 30 hari, tanpa mendapat persetujuan Agong.

Mengulas perkembangan terbaru ini, Dr Mahathir berkata perubahan Perlembagaan sebegini mungkin membawa kepada penghinaan kepada kerabat diraja dan kaum Melayu yang mungkin akhirnya akan melepaskan budaya dan sokongan kepada Raja-raja Melayu jika situasi ini tidak terkawal.

"Jika Perlembagaan diabaikan oleh sesiapa, ada yang akan mengikut langkahnya. Perlembagaan merupakan undang-undang asas negara ini. Apabila sesuatu perkara menjadi duluan, ia akan menjadi kebiasaan dan lantas menjadi asas untuk perubahan lain," katanya dalam tulisan blog popularnya Chedet.

Pakatan Rakyat (PR) masih belum menyatakan pendirian mereka. Ini menunjukkan mereka juga lemah seperti Najib.

Mengapa dalam isu sepenting ini PR masih belum mampu mengeluarkan kenyataan bersama? Menyokong atau menentang?

Apakah PR masih bersedih dengan kekalahan Dyana Sofya Mohd Daud di Teluk Intan sehingga tidak mampu memberikan respon?

Atau pemimpin-pemimpin utamanya terlalu sibuk di luar negara untuk menyelesaikan masalah dunia sehingga melupakan Malaysia yang sedang berdepan dengan perkara penting seperti ini?

BN dan PR perlu duduk semeja dalam isu ini bagi memastikan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dipertahankan.

Jika akhbar seperti Utusan Malaysia yang sudah hilang kredibilitinya selepas kalah kes saman berkali-kali di mahkamah sanggup menyiarkan pandangan Aziz dari PKR dalam isu penting seperti ini, tidak salah BN dan PR duduk bersama untuk menentang tindakan Umno Johor melakukan pindaan Perlembagaan di negeri tersebut.

Seperti yang dikatakan bekas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim, hal ini berpotensi menjejaskan kepentingan jangka panjang rakyat di negeri itu dan warga Malaysia secara amnya.

"Selaku rakyat Johor yang berkhidmat lebih 30 tahun membangunkan ekonomi Johor menerusi JCorp, saya tidak setuju dan percaya ramai rakyat turut menentang rang undang-undang LPHJ dibentang untuk pertimbangan DUN Johor.

"Jika diberi kuasa undang-undang penuh kepada Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran, ia secara langsung akan mencemarkan kedudukan baginda dan merosakkan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini," katanya seperti dilapor Utusan Malaysia

Tiada ulasan: