Jumaat, 13 Jun 2014

Amalan politik keji: Kes PKR mengajar anak berjalan betul

Oleh Abdul Rahman Malik
 
 
Post Pic
 
 
 
[ULASAN] Panggillah sahaja ia proses penyulingan atau penapisan politik. Namun pemimpin-pemimpin PKR pasti akan cuba mengatakan episod huru-hara dalam proses pemilihan pemimpin 2014 parti itu sebagai satu “peningkatan” dalam perjuangannya. 
 
Pemimpin seperti Anwar Ibrahim akan menggunakan kemahirannya beretorik untuk mengistilahkan ia sebagai satu islah, pencerahan dan pelbagai lagi kata nama yang muluk untuk merangsang rakyat terus percaya kepada PKR.
 
PKR akan menafsirkan sejarah untuk menanam persepsi luhur terhadap perjuangannya. Hujah paling besar yang mungkin dijaja ialah proses pemilihan ini akan “menyaring hanya pemimpin lebih baik ditonjolkan untuk mengarak obor keadilan, kebenaran dan demokrasi”. 
 
Maka sambungan hujah mereka tentu bahawasanya segala tuduhan rasuah, salahguna kuasa, kelemahan pengurus pemilihan dan juga rasukan samseng dalam pemilihan berkenaan “akan lebih mendewasakan” parti itu. 
 
Malangnya, semakin dekat garisan penamat pemilihan, semakin banyak “najis politik” yang dihamburkan oleh kalangan pimpinan PKR sendiri. 
 
Budaya lontar 'lontar najis' pada parti semakin menjadi-jadi
 
Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, misalnya, selama ini diraikan oleh PKR sebagai ikon anak muda dalam perjuangannya. Suaranya lantang menghentam dan kadangkala mencabar lawan PKR dan gerakan pimpinannya, Solidariti Anak Muda (SAMM) boleh mengkucar-kacirkan pihak lawan. 
 
Bagaimanapun apabila beliau menghalakan “kedudukan istimewa” dan taring politiknya digunakan untuk mengecam aparatus dan pemimpin parti, PKR tiada pilihan kecuali memutuskan untuk menggantung keahliannya.  
 
Namun mungkin kerana terlalu lama dibelai dengan pujian bahawa beliau ialah wira dan suara anak muda, Chegbard tidak boleh mengawal perasaaan apabila dihukum sedemikian rupa.
 
Maka dilontarkan lebih banyak tuduhan yang menjadi “najis bertaburan pada imej parti” yang menjanjikan genre politik baru di negara ini. Beliau menyebut nama beberapa pemimpin yang dikatakannya mengamalkan rasuah. 
 
Ini membuat pemimpin PKR bungkam. Memang PKR dilahirkan untuk melakukan reformasi terhadap sistem dan budaya politik negara. Laungan reformasi memenuhi setiap acara mereka sejak 1998 lagi.
 
PKR semakin terjerumus dalam sentimen kebencian yang disemainya
 
Sedihnya dalam program reformasi PKR apa yang ditekankan ialah amalan konfrantasi. Yang diraikan ialah hujah provokasi. Matlamat akhir amalan ini ialah menyebarkan rasa benci pada sistem dan institusi yang ada dengan matlamat supaya rakyat akan bergantung pada mereka untuk mengutuk sistem yang dikatakan bobrok.
 
Politik konfrantasi dan membenci marak dan membakar sentimen rakyat, termasuk pemimpin-pemimpin PKR sendiri. Setiap kali berhadapan saingan politik, tidak kira dari dalam dan luar parti, jurus pertama yang dipilih ialah mengeji, mencabar, menghina dan membenci. Maka terjerumusulah PKR ke dalam kancah “najis politik” yang ditaburinya sendiri. 
 
Sehingga 22 Jun ini apabila proses pemilihan PKR tamat, lebih banyak episod serang menyerang akan berlaku sesama pemimpin dan pengikut parti itu. Kini berhamburan gertakan saman menyaman melayang dalam sfera politik PKR.
 
Khalid Ibrahim mahu menyaman Manikavasagam, Dr Xavier Jeyakumar pula mahu membawa Chegubard ke mahkamah kerana memfitnahnya dan Jawatankuasa Disiplin parti sentiasa sibuk menimbang siapa lagi yang perlu “dibisukan” sebelum proses pemilihan berakhir. 
 
Ini semua memang sudah menjadi darah daging dalam tubuh perjuangan PKR. Mereka sudah lebih 15 tahun diasuh untuk bersikap sedemikian. Gejala huru-hara dalam parti yang dialami sekarang ialah bak “menuai apa yang disemai”.
 
Sebaliknya, setiap tindakan disiplin yang diambil ke atas ahli dan pemimpin PKR akan terus membangkitkan ketidakyakinan dan malah kebencian terhadap insitusi kepimpinan parti itu sendiri – formula dan kesan yang sama digunakan terhadap institusi politik Malaysia yang cuba dirobahnya.
 
Tidak mustahil PKR akan lumpuh
 
Apa yang berlaku sekarang hanyalah satu prognosis politik. Besar kemungkinan natijah daripada sikap berpuak yang saling membenci dan dendam yang semakin mendalam ini akan mengakibatkan PKR lumpuh. 
 
Ia mungkin gagal untuk menarik minat ahli dan penyokong baru. Malah ahli dan golongan yang bersimpati dengannya akan mula berhijrah menyokong entiti politik lain. 
 

Sudah pasti mereka tidak mahu menaruh harapan kepada ketam-ketam politik yang cuba mengajar anak dan penyokong mereka untuk berjalan betul! Baru ada seorang menteri besar pun, PKR tidak mampu mendisiplinkannya supaya akur pada visi dan misi parti!
 
Lompongan budaya politik terbesar dalam PKR ialah ia mengambil pendirian bahawa ia sentiasa betul dan yang silap serta jahat ialah pihak lain. Ia juga bersikap serba tahu sehingga idea dan pandangan ahli serta penyokong sendiri sering diketepikan.
 
Dalam mana-mana pertubuhan pun akan berlaku proses peningkatan kefahaman dan amalan dalam perjuangan. Namun peningkatan itu tidak akan berlaku jika  proses pemurnian adab dan kebudimanan akhlak tidak disemai sejak awal lagi. 
 
Usaha begini seharusnya terancang dan mereka tidak boleh dilemaskan oleh suasana hiruk pikuk yang diadun dengan rasa benci terhadap nasab keturunan kebanyakan pemimpin mereka sendiri yang dipanggil Umno.
 
PAS berjaya kikis DNA Umno dalam jati diri partinya, tidak PKR
 
PAS juga adalah serpihan Umno. Namun ia berhasil untuk menggubah jati diri sendiri bersandar al Quran dan sunnah. Namun PKR yang diterajui oleh mantan-mantan pemimpin Umno cuba mencanai satu imej baru yang dipanggil reformasi dengan memburukkan susur galur politik mereka sendiri. Itulah tulahnya.
 
Mungkin Anwar dan pemimpin PKR lain perlu menterjemahkan sungguh-sungguh falsafah istihalah Sheikh Yusuf al Qardawi bahawa meskipun DNA babi masih boleh dikesan daripada sesuatu produk, proses transformasi yang berlaku kepada asal babi boleh menjadikanya halal.
 
Nampaknya proses transformasi politik PKR masih belum sempurna kerana campuran dengan elemen politik lain masih belum dilakukan dengan ikhlas dan yakin kerana diulet dengan minyak kebencian yang kini memamah perpaduan sesama pemimpin PKR sendiri.

Tiada ulasan: