Krisis UMNO Terengganu akhirnya
selesai. Yang keluar parti telah kembali dan membatalkan tindakan keluar parti.
Tindakan ini berlaku agak biasa dalam UMNO. Dalam tempoh dua hari sahaja Ahmad
Said, dan dua orang ADUN Terengganu telah kembali kepada UMNO dan kembali
‘bersatu’ setelah Najib memohon maaf kepada Ahmad Said diatas kesilapannya
(kata Ahmad Said) yang cuba-cuba hendak menjadi orang tegas dalam keputusannya.
Najib telah bertegas tidak mahu menangguhkan tarikh untuk Ahmad Said bersara
hanya seminggu.
Dalam rekod ahli parti keluar
UMNO ialah dalam kes Datuk Yahya Lampong dari Sabah yang keluar parti tidak
sampai sehari dan kembali kepangkuan UMNO semasa pilihanraya negeri Sabah suatu ketika dahulu. Yang agak lama sedikit keluar
parti sebelum kembali kepada UMNO ialah Dr Mahathir semasa beliau marah-marah
dengan Abdullah Badawi dahulu. Kalau tidak silap saya tidak sampai setahun
beliau kembali kepangkuan UMNO setelah Abdullah meletakkan jawatan dan terus
memegang nombor keahlian nombor satu.
Keluar masuk dalam UMNO ini sudah
menjadi kebiasaan dan mereka yang keluar parti itu akan kembali setelah apa
yang mereka tidak berpuas hati itu telah dipenuhi. Dalam kes-kes ini ia mudah
diselesaikan kerana mereka bergaduh dan keluar bukan kerana perjuangan dan kepercayaan,
tetapi hanya melibatkan isu persendirian. Oleh kerana isu-isunya adalah isu
persendirian maka ia mudah diselesaikan kerana berikan sahaja kehendaknya atau
gantian kepada sesuatu yang hilang, maka selesailah perbalahan dan kembali
bersalaman dan berpelukan.
Yahya Lampong kembali kepada UMNO
setelah keluar dari parti beberapa jam sahaja setelah dipujuk oleh pimpinan
UMNO. Apa yang menyebabkan pujukan itu berjaya dilakukan, berbagai-bagai
spekulasi boleh dibuat. Yahya Lampong lebih kuat sokongan kepada UMNO setelah
kembali kepada parti itu dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Ahmad Said juga begitu. Beliau
kembali kepada UMNO setelah pucuk pimpinan Najib melalui beberapa orang
pimpinan UMNO memujuk beliau untuk kembali. Apakah dia ‘benda’ yang dijadikan
alat pujukan itu, tentunya kita akan ketahui tidak lama lagi. Kita boleh lihat,
jika ‘benda pemujuk’ itu besar tentulah Ahmad Said akan lebih kuat sokongan
beliau kepada UMNO.
Dr Mahathir kembali kepada UMNO
setelah kemahuannya tercapai, iaitu bersaranya Abdullah Badawi dari jawatan PM
pada tahun 2009 dahulu. Tindakan Dr Mahathir itu juga menjadi senjata serampang
dua mata kerana ia memberikan kelebihan kepada Mukhriz dan pucuk pimpinan kita
memberikan anak bekas Perdana Menteri itu tempat dalam pilihanraya dan akhirnya
menjadi Menteri Besar Kedah sekarang ini.
Semua yang berlaku ini berkisar
disekeliling kepentingan peribadi diatas nama perjuangan. Gertak menggertak
dalam UMNO ini sekarang sangat efektif kerana kelemahan pimpinan. Kelemahan
Najib membuatkan seorang pemimpin seperti Ahmad Said yang tidak ber ‘consequence’
itu penting kepada beliau (Najib) dan memohon maaf kepada beliau (Ahmad Said).
Begitulah budaya dalam UMNO.
Budaya ini sudah wujud selama 30 tahun dan ia masih wujud. Mereka tidak bergaduh
kerana perbezaan cara dalam perjuangan, tetapi semuanya kerana kepentingan dan
ego peribadi sahaja. Itu sebab mudah mendapat penyelesaiannya.
Kalau pergaduhan diantara suami
isteri itu selesai kerana memikirkan anak yang sudah besar, pergaduhan dalam UMNO
pula selesai kerana ada ‘benda’ yang mahal-mahal diantara mereka yang bergaduh
itu. Bahagi-bahagi sahaja ‘benda’ itu selesailah pergaduhan.
Yang letih bertekak dan bergaduh
ialah penonton diluar padang
sahaja. Yang bermain itu dapat banyak wang ringgit dan menjadi kaya raya, yang
diluar padang
bergaduh, bakar-membakar kenderaan dan membaling botol dan mendapat kecederaan.
Isu-isu besar negara masih tidak
terlerai dan masih terbiar tanpa ada usaha konkrit untuk penyelesaiannya.
Pimpinan setiap peringkat masih bergaduh sesama sendiri dalam hal-hal ‘harta
rampasan’ perang yang tidak berkesudahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan