Isnin, 26 Mei 2014

Tindakan samseng Pemuda Umno



Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad


Serangan terhadap Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur dan pejabat DAP Kuantan adalah bukti yang cukup bahawa Pemuda Umno tidak lebih daripada sekumpulan samseng.

Ini merupakan sebuah pertubuhan yang merasakan mereka adalah undang-undang ke atas diri mereka sendiri dan satu-satunya cara menyelesaikan pertelingkahan adalah menerusi keganasan.

Sekalipun jika kenyataan ahli politik DAP tersebut adalah tidak wajar sama sekali, pihak yang mendakwa diri mereka juara bangsa dan budaya Melayu ini tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang kononnya beraliran sederhana dan reformis, tidak bermakna dengan tindakan tidak bertamadun ahli-ahlinya.

Jelas sekali beliau tidak mampu mengawal sayap tersebut. Setelah mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama, Umno kini menjadi saksi makhluk yang mereka hasilkan.

Pada masa yang sama, kelemahan tindakan terhadap Pemuda Umno berbeza dengan tindakan bersungguh-sungguh kerajaan Persekutuan mendakwa penganjur-penganjur himpunan aman yang menuntut reformasi sistem pilihan raya dan politik.

* Penulis ialah calon Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia dan Adun Seri Setia.

Tiada ulasan: