Ahad, 18 Mei 2014

Timbalan Ketua Pemuda MCA keluar parti


Yee Kok Wah  
Yee Kok Wah


BANDARAYA MELAKA - Hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap pucuk pimpinan Pusat MCA merupakan faktor utama yang mendorong Timbalan Ketua Pemuda MCA Kota Melaka, Dr Yee Kok Wah, keluar parti.

Menurut Kok Wah, beliau kecewa dengan kepimpinan parti itu yang didakwa ‘banyak membuang masa’ selepas PRU13 tahun lalu.

Katanya, beliau sudah pun menghantar surat peletakan jawatan dari semua jawatan parti serta keahlian dalam parti ke ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur.

“Dengan ini, saya boleh mengesahkan bahawa saya telah menarik diri sebagai ahli MCA kerana saya telah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan presiden parti (Datuk Seri Liow Tiong Lai).

“Saya berharap tindakan saya melepaskan jawatan dan keahlian ini akan menyebabkan kepimpinan parti lebih serius dalam usaha mentransformasikan MCA,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin dalam laman media sosial Facebook, di mana beliau ada mengumumkan mahu meninggalkan parti berkenaan.

Beliau memuat naik status yang berbunyi ‘Thank you MCA for giving me a chance to learn..the experience I gained, I will never forget..the ppl that I'm going to miss much r those good comrades and my supporters.. I'm quitting n wish u all the best’ dalam laman sosial itu.

Sebelum ini, Kok Wah, 36, pernah disebut sebagai barisan kepimpinan masa depan MCA negeri berikutan sokongan generasi muda kepada beliau.

Pada PRU13, beliau bertanding bagi kerusi Parlimen Kota Melaka bagaimanapun, tewas kepada Sim Tong Him (DAP) dengan majoriti 20,746 undi.

Mengenai keputusannya untuk keluar parti, Kok Wah berkata, ia merupakan keputusan peribadi dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Katanya, beliau akan terus menyokong BN walaupun bukan lagi di dalam MCA.

“MCA adalah sebuah parti yang baik. Cuma sayang kepimpinan parti mengecewakan saya. Ini satu tindakan amat berat untuk saya lakukan. Buat masa ini, saya mahu memberi tumpuan penuh kepada klinik serta keluarga saya,” katanya.

Tiada ulasan: