Annuar Musa  
Tan Sri Annuar Musa
 

PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, tidak berbaloi bagi negara mengambil pemain import untuk mewakili Malaysia semata-mata kerana mengidamkan kejayaan peringkat antarabangsa.
     
Katanya, dasar Jabatan Imigresen dan Persekutuan Badan Induk Bola Sepak Dunia (Fifa) juga jelas bahawa tiada pemain import boleh bermain untuk Malaysia.
     
"Dasar kita jelas tidak boleh menerima dua kerakyatan. Bagi Fifa pula pemain yang mewakili negara asal tidak oleh bermain untuk negara lain," kata Annuar mengulas cadangan supaya Malaysia mengambil pemain import untuk memperkuat cabaran negara di persada antarabangsa.
     
Annuar yang juga ahli Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara ditemui selepas merasmikan Arked Kayang milik Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kangar, semalam.
     
Beliau berkata, pemain import hanya boleh mewakili negara selepas melalui tempoh lima tahun (bertenang) namun masih ada beberapa syarat lain seperti pemberian status warganegara atau penduduk tetap yang perlu diambil kira.

"Pemain import rata-rata berumur 25 tahun ke atas. Selepas tamat cooling off period mereka sudah tua kerana proses mendapatkan kerakyatan mengambil masa panjang. Nak ambil pemain remaja (import) pula ibu bapa mereka menjadi halangan.
     
"Yang terbaik dan relevan sekali ialah melatih bakat-bakat muda melalui perancangan jangka panjang dan dilaksanakan dengan sistematik serta menambah baik Liga Malaysia," kata Annuar.
     
Beliau bagaimanapun mengalukan-alukan hasrat pemain import yang mahu mewakili Malaysia.
     
Katanya lagi, walaupun Malaysia pernah mendapat khidmat atlet jalan kaki Yuan Yu Fang dari China dan angkat berat Hidayat (Indonesia) dalam menghadapi Sukan Komanwel, perkara itu tidak akan berlaku dalam bola sepak.
     
Menurut Annuar, dalam bola sepak ada peraturan tambahan yang menghalang seseorang itu mewakili negara, sehingga memenuhi syarat Fifa. - Bernama