Isnin, 19 Mei 2014

Shahrizat telah ditolak rakyat, tiada hak gelar Dyana boneka – Kasthuri

_DSC8461


IPOH – Calon DAP untuk pilihanraya kecil Teluk Intan Dyana Sofya tidak perlu selak kain dan menggunakan kata-kata yang kasar untuk mendapatkan kepercayaan dan rasa hormat rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dalam kenyataannya hari ini mempertahankan Dyana daripada serangan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dilihat cuba menagih simpati orang ramai terhadap dirinya yang digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional pada PRU ke-13 tahun lalu.

“Hakikatnya, Shahrizat, bukan sahaja anda banyak bercakap kosong, anda menjadi beban kepada UMNO-BN. Anda tidak ada kualiti pemimpin dan terpalit dengan skandal terbesar negara,” ujar Kasthuri, merujuk skandal pinjaman mudah NFC bernilai RM250 juta yang menyebabkan Shahrizat meletakkan jawatan menteri pada tahun 2012.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat pada 8 April 2012, jawatan lantikan yang dipegangnya meski kalah kepada Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai.

Shahrizat kini adalah penasihat khas yang bertanggungjawab memantau usahawan wanita dan profesional dengan gaji berjumlah RM27,227.20 sebulan, atau RM326,726.40 setahun.

“Berani kamu Shahrizat yang menerima undi tidak percaya daripada rakyat mahupun parti sehingga tidak diberi peluang bertanding dan menerima gaji penasihat yang dibayar rakyat, melabel Dyana sebagai alat dan boneka?” soal Kasthuri lagi.

Dyana Sofya, peguam berusia 27 tahun bakal menentang Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong (53 tahun) dalam PRK yang dijadual bermula hari ini dan berakhir pada hari mengundi 31 Mei nanti. – Roketkini.com

Tiada ulasan: