Ahad, 18 Mei 2014

Sasaran Johor sifar setinggan gagal

SONY DSC


Mahdzir Ibrahim

Seperti di banyak bandar lain, masalah setinggan di Johor Bahru sehingga kini masih belum ada penyelesaian yang konkrit. Hasrat untuk mencapai sifar setinggan oleh kerajaan negeri Johor menjelang tahun 2005 ternyata gagal.

Masalah penempatan setinggan ini melibatkan isu asas, iaitu isu geran tanah. Perkara asas ini akan memberi kesan besar kepada dasar pembangunan kawasan terbabit.

Malangnya, masalah setinggan di bandar ini bukan sahaja tidak selesai, malah ia membengkak menjadi masalah yang lebih rumit hingga menjejaskan kehidupan penduduk kawasan setinggan terbabit.

Beberapa kawasan yang masih dihantui masalah tersebut hingga kini ialah Pengkalan Rinting.

Sungguhpun hanya 20 keluarga yang menjadi penghuni setinggan di kawasan ini, masalah semakin hari semakin meruncing disebabkan tiada perancangan yang jelas tentang masa depan penempatan tersebut oleh pihak kerajaan negeri menerusi agensinya.

ADUN Pengkalan Rinting YB Cheo Yee How bersama-sama Roketkini baru-baru ini meninjau permasalahan di kawasan tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, Pusat Komuniti Pengkalan Rinting telah menemui beberapa orang wakil penduduk untuk melihat dan mendengar sendiri isu-isu yang disuarakan oleh mereka.

Hasil tinjauan mendapati masalah di kawasan terbabit banyak berkisar tentang status tanah yang telah didiami oleh penduduk setinggan semenjak tahun 40-an lagi. Rata-rata penduduk di situ tidak mendapat geran tanah sungguhpun mereka adalah peneroka awal kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa sebelum ini memang ada wakil dari kerajaan negeri datang dan mengemukakan penyelesaian, namun akhirnya cadangan tersebut tinggal sebagai janji yang tidak pernah ditunaikan.

Kerajaan juga pernah merancang dan menjanjikan alternatif seperti projek penempatan semula di kawasan lain, iaitu Program Perumahan Rakyat (PPR). Namun, menurut penduduk di situ, setelah projek pembinaan rumah tersebut selesai, kebanyakan daripada mereka yang memohonnya gagal mendapatkan rumah.

Permasalahan asas yang tidak selesai itu kini menimbulkan masalah lain, antaranya isu sistem perparitan, masalah kutipan sampah dan pengurusan sistem pembetungan yang tersusun.

Oleh kerana status pemilikan tanah di sini tidak jelas, maka hal-hal teknikal seperti senarai penduduk, alamat, dan sebagainya, menjadi tidak lengkap, manakala kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk memberi khidmat pungutan sampah dan lain-lain tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan sistematik.

Tong-tong sampah tidak cukup dan jadual kutipan sampah yang tidak tetap menimbulkan keadaan tidak selesa bagi penduduk kawasan setinggan tersebut.

Semakan oleh YB Yee How berkaitan status tanah kawasan Pengkalan Rinting mendapati bahawa kawasan tersebut diberi status tanah untuk perniagaan, namun tidak ada penjelasan terperinci daripada pihak kerajaan negeri tentang bentuk perniagaan apakah yang dimaksudkan dalam status tersebut.

Pada awal tahun 2014, penduduk telah dimaklumkan pula bahawa projek loji pembetungan kumbahan akan dijalankan di sekitar kawasan terbabit agar ia dapat menampung sisa kumbahan dari satu kawasan penempatan kondominium di sekitar kawasan Danga.

Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk kerana perkembangan ini pastinya akan menimbulkan lebih banyak lagi masalah kepada mereka, apatah lagi lokasi loji yang dicadangkan itu terletak bersebelahan dengan tebing Sungai Skudai yang dipenuhi dengan pokok-pokok bakau.

Namun, projek tersebut terpaksa ditangguhkan kerana penduduk di kawasan penempatan setinggan dan juga penduduk kampung di sekitar kawasan yang sama telah bangkit dan membantah cadangan projek tersebut.

Hasil daripada lawatan yang disebutkan di atas, ADUN Pengkalan Rinting telah memutuskan untuk membawa usul masalah setinggan ini ke mesyuarat Dewan Undangan Negeri akan datang untuk memastikan kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu ini.

Malah Yee How juga bercadang untuk menjalankan satu usaha penyelidikan untuk melakukan dokumentasi tentang kawasan tersebut yang dipercayai mempunyai nilai sejarah berikutan masih wujud waris-waris peneroka asal kawasan Pengkalan Rinting itu.

Data-data yang bakal diperolehi diharapkan akan membantu pihak berkuasa merangka dasar pembangunan dan kemasyarakatan yang bersesuaian dengan kehendak penduduk dan latar belakang kawasan tersebut.-Roketkini.com

Tiada ulasan: