Sabtu, 24 Mei 2014

Salahuddin gesa perkuat jentera PAS di Teluk Intan

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR 



 


TELUK INTAN: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub masih belum berpuas hati dengan jentera PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Pengarah Induk PAS PRK Teluk Intan itu menggesa jentera sama ada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS untuk terus turun beramai-ramai memperkuatkan jentera khususnya di dalam kawasan Dun Changkat Jong.

"Semua Dewan digesa dapat gerakkan lagi jentera di semua untuk memperkuatkan lagi gerak kerja pilihan raya.

"Saya harap jentera dapat turun semaksima mungkin hingga ke hari pembuangan undi," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Markas Induk PAS PRK Teluk Intan, Padang Tembak dekat sini.

Beliau melahirkan keyakinan dan percaya bahawa berdasarkan pada perkembangan semasa laporan-laporan mesyuarat jawatankuasa induk, prestasi Pakatan Rakyat di parlimen tersebut akan meningkat berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Jelasnya, kerusi PAS, Dun Changkat Jong yang berada di dalam parlimen Teluk Intan akan dapat dianjakkan prestasinya apabila PRU13 lalu agak merosot sokongan daripada rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan, di samping memenangkan DAP, inilah masa terbaik untuk PAS membuktikan semangat setiakawannya di dalam Pakatan Rakyat.

PAS katanya tetap konsisten dengan prinsip tahaluf siyasi dan dengan isu yang dicetuskan akan diselesaikan dengan baik.

"PAS tidak sesekali untuk khianati parti yang menjadi rakan kita sebaliknya fokus untuk tumbangkan BN dalam pilihan raya ini," tegasnya.

Tiada ulasan: